Singapura dan Poland berharap dapat mengukuhkan perkongsian mereka dan bekerjasama dengan lebih erat, terutama di tengah-tengah persekitaran luaran yang lebih mencabar kini, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang bertemu dengan Presiden Poland, Encik Andrzej Duda, pada 13 Jun.
Menulis dalam hantaran di Facebook selepas pertemuan tersebut, Encik Wong berkata hubungan dua hala antara Singapura dengan Poland adalah mesra dan semakin berkembang.
“Poland adalah rakan kongsi penting di Eropah Tengah dan Timur.
“Hubungan perdagangan dan pelaburan kita, dan pertukaran antara rakyat kita semakin berkembang.
“Namun, masih terdapat potensi besar untuk kita melakukan lebih banyak bersama.
“Presiden Duda dan saya membincangkan cara kita boleh memperkukuh kerjasama, termasuk dalam bidang seperti pembangunan pelabuhan, jaminan makanan dan logistik,” kata Encik Wong.
Encik Wong menambah beliau dan Encik Duda juga telah mengadakan perbincangan baik mengenai perkembangan rantau dan sejagat.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Encik Duda ke Singapura sejak menyandang jawatan Presiden pada 2015.
Beliau berada di sini selama tiga hari dari 11 hingga 13 Jun.
Beliau menerima sambutan penuh istiadat di Parlimen pada 12 Jun.
Encik Duda, ditemani Wanita Pertama Poland, Cik Agata Kornhauser-Duda, turut melawat Kebun Orkid Negara pada 12 Jun, dan satu hibrid anggerik baru, Genus Andrzej dan Agata Duda, telah dinamakan sempena nama mereka.
Semasa lawatannya itu, beliau juga telah bertemu dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang turut menganjurkan jamuan negara bagi menghormati Encik Duda.
Dalam hantaran di Facebook pada 12 Jun, Tuan Presiden berkata hubungan Singapura dengan Poland sudah lama terjalin, dan mempunyai potensi besar untuk masa depan.
Bahkan, beliau menambah bahawa beberapa kisah di sebalik hubungan lama itu tidak diketahui.
Contohnya, Bells of Happiness atau Loceng Kebahagiaan di Gunung Faber, yang dibunyikan pengunjung bagi mendapatkan nasib baik, berasal dari kapal tinggi legenda Poland dan dihadiahkan dari negara itu ke Singapura, yang melambangkan warisan maritim bersama kedua-dua negara itu.
Plak peringatan berhampiran Hotel Fullerton pula mengingatkan orang ramai tentang lawatan penulis dan pengembara hebat kelahiran Poland, Joseph Conrad, ke Singapura pada era 1880-an, yang memberi inspirasi kepada beberapa tulisannya.
Sementara itu, hidangan Poland yang sangat digemari – pierogi – pula mengingatkan orang ramai tentang ladu Asia Timur seperti jiaozi.
“Kami akan dapat rasakan lebih banyak makanan Poland melalui eksport makanannya yang semakin meningkat ke Singapura – daripada makanan harian seperti telur dan ayam kepada kaviar Poland, yang saya diberitahu adalah lazat.
“Syarikat kami, seperti PSA International, juga semakin memperluas kehadiran mereka di Poland – salah satu ekonomi yang paling pesat berkembang di dunia dalam tempoh tiga dekad lalu,” kata Tuan Presiden dalam hantarannya itu.
Encik Duda turut menghadiri Forum Perniagaan Singapura-Poland pada 13 Jun anjuran bersama oleh Kedutaan Poland, Agensi Pelaburan dan Perdagangan Poland dan Persekutuan Perniagaan Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg