Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Suara Asean perlu lebih lantang di pentas global

Penting untuk Asean bersatu, pastikan pengaruh kekal di peringkat antarabangsa
Oct 12, 2024 | 8:42 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan), bersama Presiden Laos, Encik Thongloun Sisoulith, semasa lawatannya ke negara tersebut pada 12 Oktober.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kanan), bersama Presiden Laos, Encik Thongloun Sisoulith, semasa lawatannya ke negara tersebut pada 12 Oktober. - Foto MDDI

Memperkukuh penyepaduan serantau demi memastikan suara Asean lebih lantang di persada dunia adalah lebih penting sekarang di tengah-tengah keadaan geopolitik dengan banyak negara kian tertumpu kepada mengambil langkah bersifat perlindungan.

Bercakap kepada media semasa menggulung lawatan empat harinya ke Vientiane, Laos, pada 12 Oktober, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menekankan pentingnya Asean bersatu dan bekerjasama agar dapat mengaup manfaat bersama.

“Saya rasa adalah penting bagi Asean dan rakan kerja Asean menunjukkan terdapat cara berbeza – cara di mana kita boleh bekerjasama dan meraih manfaat daripada penyepaduan lebih erat, berbanding dengan pengasingan yang lebih meluas; di mana kita boleh meraih manfaat daripada kerjasama yang memberi manfaat kepada semua pihak dan perdagangan bebas, dan itulah apa yang Asean dan rakan kerjanya sedang berusaha lakukan,” ujarnya.

Encik Wong berada di Laos antara lain untuk menghadiri Sidang Puncak Asean yang ke-44 dan ke-45 dan Sidang Puncak Berkaitan.

Walaupun terdapat perbezaan, Encik Wong memuji bagaimana Asean dapat bersatu demi kebaikan bersama.

Asean, yang diasaskan sewaktu Perang Dingin, telah memainkan peranan penting sejak berdekad-dekad yang lepas, di mana tanpanya, rantau ini mungkin terperangkap dalam konflik berpanjangan yang membawa kepada sekitaran geopolitik berbeza hari ini, katanya.

“Negara-negara bercakap tentang lingkungan pengaruh, pergaduhan proksi, konflik proksi dan kebimbangan bahawa Asean sendiri, atau rantau ini sendiri, akan berakhir dengan pertikaian dan konflik yang berlarutan.

“Tetapi dengan penubuhan Asean, kita dapat mengelak, sebahagian besarnya, senario ini daripada berlaku,” ujarnya.

Menyentuh tentang proses globalisasi sepanjang 30 tahun lalu, Encik Wong berkata dunia kini berada dalam fasa pembangunan seterusnya di mana ia bergelut dengan persaingan geopolitik, sehingga ada yang beri gelaran “Perang Dingin baru”.

Justeru, adalah lebih penting bagi Asean terus bekerjasama dan bersatu bagi memastikan pengaruhnya kekal di peringkat antarabangsa, tambahnya.

Berhubung cabaran dan peluang akan datang, Encik Wong meluahkan sifat optimis tentang masa depan Asean.

“Sedang Asean terus menyepadu, saya rasa terdapat banyak peluang menarik dan mengujakan dalam Asean.

“Sedang kita memperkukuh hubungan kita dengan rakan luar – baik China, Korea, India mahupun Jepun – terdapat juga banyak peluang dalam rantau lebih luas.

“Pada asasnya, Asia kekal sebagai enjin pertumbuhan dunia.

“Terdapat banyak pelabur global yang masih berminat untuk hadir di Asia dan begitu juga bagi perniagaan yang berpangkalan di Singapura, mereka boleh meraih manfaat dengan melihat semua peluang berbeza ini di rantau yang lebih luas,” katanya.

Bagaimanapun, di tengah-tengah fasa pembangunan yang beliau sifatkan sebagai sukar, Encik Wong memesan agar perniagaan di Singapura dapat menyesuaikan diri dan bersedia berdepan dengan risiko geopolitik ini.

“Kemampanan juga bukanlah sesuatu yang boleh anda katakan sebagai sesuatu yang ‘baik kalau ada’.

“Perniagaan perlu mula mengambil kira bagaimana mereka boleh beroperasi dengan cara yang lebih mampan,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg