Aspirasi sebahagian masyarakat Melayu-Islam setempat supaya keprihatinan mereka lebih didengari lantang dikemukakan pada Pilihan Raya Umum (GE) yang baru berlalu.
Secara umum, Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mengecapi kemenangan besar dan mandat kukuh bagi pasukan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mendapat sokongan masyarakat Melayu-Islam, menurut pengamat politik yang berkongsi pandangan dengan akhbar ini.
Keupayaan Encik Wong dan pasukannya meraih 65.57 peratus undi, berbanding 61.24 peratus undi pada 2020 menunjukkan sokongan yang lebih besar daripada rakyat, termasuk masyarakat Melayu-Islam.
Namun, keinginan sebahagian pengundi seperti di GRC Tampines, di mana pasukan PAP yang diterajui Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menang, tetapi menyaksikan peratusan undi merosot tidak boleh diabaikan.
Kehadiran Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP) – yang bersama meraih kurang 1,000 undi dianggap tidak menjejas keputusan dalam persaingan empat penjuru yang berlaku buat kali pertama di GRC Tampines, yang mempunyai sekitar 148,000 pengundi.
Hampir 25 peratus penduduk di Tampines adalah Melayu-Islam, yang bermakna GRC ini mempunyai bilangan paling ramai pengundi Melayu.
Pasukan PAP di GRC Tampines meraih 52.02 peratus undi pada GE2025, menepis saingan empat penjuru yang didahului Parti Pekerja (WP), PPP dan NSP.
WP meraih sebahagian besar undi yang tidak diberikan kepada PAP, iaitu 47.37 peratus. PPP dan NSP masing-masing meraih kurang 1 peratus undi.
Margin kemenangan PAP pada GE2025 (4.60 peratus) ini lebih tipis dibandingkan margin kemenangan pada empat GE yang diadakan sejak 2006, di mana pasukan PAP menang dengan margin 37.02 peratus (2006); 14.44 peratus (2011); 44.14 peratus (2015); dan 32.82 peratus (2020).
Keadaan itu mendorong Encik Masagos Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, untuk melahirkan azam mengorak perubahan dalam mendekati masyarakat Melayu-Islam.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan di sidang media PAP yang diadakan pada dinihari 4 Mei, sejurus selepas keputusan GE2025 diumumkan.
“Saya fikir setelah kemenangan para Anggota Parlimen (AP) PAP Melayu yang dipilih, saya akan buat beberapa pendekatan baru untuk mendekati masyarakat dengan lebih (baik) lagi, mengenali apakah sebenarnya keprihatinan mereka, dengan pendekatan supaya masalah dan isu-isu masyarakat kita itu mendapat (tumpuan) atau terdapat tindakan lanjut,” ujar Encik Masagos.
Butiran pendekatan baru itu belum lagi diumumkan, namun beberapa idea telah dilontarkan oleh pengamat politik untuk dipertimbangkan.
Mereka mendapati AP Melayu-Islam telah bertungkus lumus saban tahun untuk berkhidmat kepada penduduk masing-masing dan di peringkat nasional, memperjuangkan perkara yang dekat di hati masyarakat Melayu-Islam.
Namun perjuangan ini mungkin ‘tenggelam’ dan kurang menonjol jika ia tidak ‘dipasarkan’ secara kerap.
Mungkin, AP Melayu-Islam perlu lebih bersedia menjiwai sikap ‘masuk bakul angkat sendiri’ untuk menampilkan kerja-kerja dalam masyarakat masing-masing yang diusahakan.
Selain itu lebih banyak perbincangan dalam masyarakat melibatkan individu yang tidak mewakili sebarang kumpulan rasmi perlu diadakan. Juga, jika termampu, sesi sedemikian boleh diadakan dengan cara tidak terselindung, atau bukan ‘behind-closed-doors’.
Peserta daripada kumpulan-kumpulan rasmi, seperti pertubuhan Melayu-Islam, atau badan-badan yang ada hubungan dengan M KuasaTiga (M3) pula mungkin boleh dihadkan, supaya mendorong lebih ramai tetamu hadir secara organik dan mengurangkan dakwaan hasil perbincangan sedemikian adalah pandangan ‘group-think’ (berfikiran serupa) yang tidak meraikan kepelbagaian suara.
Hakikatnya, perkara ini boleh merumitkan penganjur sesi perbincangan. Satu masalah yang berpotensi berlaku ialah kurang kuorum – bayangkan dewan perbincangan yang mempunyai lebih kerusi daripada peserta.
Namun, dari sudut pandang berbeza, perbincangan yang diadakan dalam kumpulan perbincangan terhad – sebagai contoh 15-20 peserta – tetap boleh melahirkan perbincangan rancak dan pandangan bernas berbanding yang diadakan di dewan kelab masyarakat yang padat peserta pasif, di mana perbincangan yang diadakan hambar dan tiada sentuhan peribadi.
Pendekatan baru ini melebihi wadah perbincangan dan perkongsian maklum balas yang sedia ada, seperti dialog dalam masyarakat yang dianjurkan unit maklum balas pemerintah, Reach, M3, atau Sesi Bertemu Penduduk (MPS) yang dikelolakan AP. Wadah-wadah ini mempunyai matlamat masing-masing dan harus diteruskan.
Namun matlamat mengadakan wadah perbincangan baru harus berbeza dan tujuan mendekati rakyat semata-mata untuk mendengar suara rakyat perlu disampaikan, melebihi keperluan mencari huraian serta-merta atau yang boleh diukur.
Kadangkala, perbincangan boleh memenuhi matlamat penting lain sebagai menyediakan wadah untuk rakyat bersuara – malah untuk melepaskan geram mengenai sesuatu perkara dan tanpa memerlukan huraian atau kesudahan pada masa tertentu.
Pendekatan seperti ini mungkin lebih berkesan untuk menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa pemimpin prihatin, sedia mendengar rintihan rakyat tanpa mengadili mereka dan sudi mencari huraian bersama walaupun huraian yang diperlukan tidak begitu jelas dengan serta-merta.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg