Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah bertemu dengan beberapa pemimpin India menjelang sesi Meja Bundar Menteri India-Singapura (ISMR) keempat di Singapura.

Ini termasuk Menteri Kewangan, Cik Nirmala Sitharaman; Menteri Ehwal Luar, Dr S Jaishankar; Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Piyush Goyal, serta Menteri Negara bagi Elektronik dan Teknologi Maklumat, Encik Jitin Prasada.

Dalam satu hantaran Facebook pada 20 Ogos, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata mereka membincangkan bagaimana kedua-dua Singapura dan India boleh memanfaatkan kemajuan baik yang dicapai melalui ISMR.

Ini di samping perbincangan bagi memajukan lagi Perkongsian Strategik Komprehensif, terutamanya dalam bidang pembuatan termaju, pendigitalan, kemampanan, dan keterhubungan.

“Kami juga bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan utama serantau dan global.

“Singapura dan India berkongsi hubungan kerjasama yang lama terjalin dan semakin erat.

“Saya berharap agar para menteri dapat mengadakan lawatan yang produktif dan perbincangan yang membuahkan hasil di ISMR,” kata Encik Wong.

ISMR, yang edisi sulungnya diadakan pada 2022, merupakan pertemuan menteri peringkat tinggi yang kini menjadi teras hubungan antara India dengan Singapura.

Melalui ISMR, kedua-dua pihak dapat meneroka dan melaksanakan kerjasama dalam pelbagai bidang – daripada tenaga nuklear dan semikonduktor sehingga latihan kemahiran di India.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, telah mengetuai delegasi Singapura ke ISMR edisi ketiga di ibu negara India, New Delhi, pada 13 Ogos 2025.