Topik diikuti
Pergi ke BHkuPresiden Tharman ucap tahniah kepada India sempena Hari Kemerdekaan ke-80
Presiden Tharman Shanmugaratnam mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya dari India, Cik Droupadi Murmu, sempena Hari Kemerdekaan ke-80 negara Asia Selatan itu.
Dalam warkah bertarikh 15 Ogos, Tuan Presiden berkata Singapura dan India mempunyai perkongsian strategik menyeluruh (CSP) yang kukuh dan berpandangan jauh, berteraskan hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara.
Beliau turut menyatakan kerjasama antara kedua-dua negara merangkumi pelbagai bidang dan terus berkembang ke bidang baru, termasuk pembangunan kemahiran, pendigitalan, kemampanan dan perkilangan termaju.
“Dengan memanfaatkan kekuatan yang saling melengkapi, saya yakin kedua-dua negara kita akan terus mengenal pasti peluang baharu demi manfaat rakyat kita,” katanya.
Beliau menambah Singapura dan India berkongsi kepentingan berkekalan dalam memastikan rantau ini kekal aman, terbuka dan saling terhubung.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan India, sebagai salah satu Rakan Dialog terlama Asean, untuk memperkukuh kesepaduan dan daya tahan serantau, khususnya dalam perdagangan, ekonomi digital, keselamatan tenaga dan peralihan tenaga,” katanya.
Tuan Presiden turut mendoakan agar Cik Murmu dikurniakan kesihatan yang baik dan kesejahteraan dalam melaksanakan tugasnya, serta berharap rakyat India akan terus menikmati kemakmuran yang berkekalan.
Pada 2025, Singapura dan India meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
