Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong temui pemimpin Vietnam, Chile, Peru
Bincang pelbagai kerjasama dua hala antaranya perdagangan, kredit karbon
PM Wong temui pemimpin Vietnam, Chile, Peru
SHENZHEN: Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengadakan pertemuan dengan pemimpin Vietnam, Chile dan Peru pada 18 November di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) selama dua hari, ketika beliau memulakan lawatan ke China.
Antara perkara yang dibincangkan termasuk kerjasama serantau, perdagangan, ekonomi digital serta kredit karbon.
Menerusi hantaran berasingan di media sosial berhubung ketiga-tiga pertemuan tersebut, Encik Wong menggariskan pelbagai bidang kerjasama dua hala.
Sebagai contoh, selepas perbincangan dengan Presiden Vietnam, Encik To Lam, beliau menekankan kerjasama yang semakin berkembang antara Singapura dengan negara itu.
Ini termasuk pelancaran Dialog Strategik Singapura-Vietnam, serta sambutan ulang tahun ke-30 Taman Perindustrian Vietnam-Singapura pada 2026.
“Dengan Singapura mempengerusikan Asean dan Vietnam mempengerusikan Apec pada 2027, kami berharap dapat saling menyokong keutamaan masing-masing, serta bekerjasama ke arah rantau yang lebih makmur dan saling terhubung,” kata Encik Wong.
Ini adalah pertemuan kedua Encik Wong dengan Encik Lam pada 2026.
Kali terakhir mereka bertemu adalah pada Mei, semasa lawatan negara pemimpin Vietnam itu ke Singapura.
Kedua-dua negara telah meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Menyeluruh pada Mac 2025.
Encik Wong turut mengadakan pertemuan sulung beliau bersama Presiden Chile, Encik Jose Antonio Kast, dan Presiden Peru, Cik Keiko Fujimori.
Bersama Presiden Chile berkenaan, Encik Wong membincangkan usaha mempertingkat kerjasama dalam bidang perdagangan, ekonomi digital serta kredit karbon.
Singapura dan Chile juga akan bekerjasama memperkukuh hubungan ekonomi antara rantau masing-masing, termasuk menerusi Apec serta penganjuran forum tersebut oleh Chile pada 2032.
Menyusuli pertemuannya dengan Cik Fujimori, Encik Wong menyentuh tentang hubungan ekonomi antara kededua negara itu, yang disokong Perjanjian Dagangan Bebas (FTA) Peru-Singapura, Perjanjian Progresif dan Menyeluruh bagi Kerjasama Rentas-Pasifik (CPTPP), serta FTA Perikatan Pasifik-Singapura.
“Peru juga merupakan sumber penting bagi bekalan makanan dan mineral kritikal,” katanya, sambil menambah bahawa Singapura menantikan usaha memperdalam kerjasama dengan Peru dalam ekonomi digital dan kredit karbon, selain bekerjasama rapat dengan negara itu semasa ia mempengerusikan CPTPP pada 2027.
Pada sebelah malam, Encik Wong menghadiri majlis jamuan menyambut ketibaan pemimpin Apec yang dihos Presiden China, Encik Xi Jinping.
Antara pemimpin yang hadir, termasuk Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.
Encik Wong tiba di Shenzhen pada petang 18 November selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-49 di Manila, dengan Singapura mengambil alih jawatan pengerusi blok serantau itu semasa majlis penutup pada malam 17 November.
Pada majlis penyerahan tugas itu, Encik Wong berkata Asean perlu memperdalam kerjasama dalam bidang kewangan, teknologi digital dan tenaga, di samping memperkukuh hubungan dengan rakan kongsi di luar rantau ini.
Pemimpin Asean lain yang berada di Shenzhen bagi mesyuarat Apec termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul; dan Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr.
Dalam satu rencana yang diterbitkan pada 18 November, Encik Wong berkata di tengah-tengah ketidaktentuan dan perpecahan sejagat yang kian meningkat, ia kini lebih penting “untuk negara-negara terus membuka pintu, memperkukuh hubungan, dan bekerjasama demi kemakmuran bersama”.
Encik Wong berkata beliau berharap dapat memanfaatkan lawatan itu untuk mempertingkat perkongsian Singapura dengan China, serta membincangkan cara Singapura boleh menyumbang ke arah rantau Asia-Pasifik yang lebih terbuka, terhubung dan makmur.
Beliau dijadual mengambil bahagian dalam sesi pleno pemimpin Apec pada 19 November.