SHENZHEN (China):  Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong memberi amaran bahawa ketegangan geopolitik boleh menyebabkan Asia-Pasifik berpecah kepada blok ekonomi yang bersaing.

Justeru, beliau menggesa negara-negara di rantau ini supaya terus bersikap terbuka dan bekerjasama walaupun mempunyai perbezaan.

Berucap pada Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) di Shenzhen pada 19 November, Encik Wong berkata rantau ini sedang memasuki era globalisasi yang lebih berpecah-belah dan penuh persaingan, dengan hubungan ekonomi semakin dinilai menerusi lensa keselamatan negara.

“Kita tidak harus membiarkan rantau kita berpecah kepada blok ekonomi yang bersaing, dan di sinilah Apec mempunyai peranan penting untuk dimainkan,” katanya kepada para pemimpin lain, termasuk Presiden China, Encik Xi Jinping, yang mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Encik Wong turut menyentuh transformasi Shenzhen daripada sebuah bandar kecil di sempadan kepada hab teknologi dan pengilangan bertaraf global, sebagai contoh apa yang boleh dicapai menerusi keterbukaan, inovasi dan kerjasama ekonomi.

Kejayaan bandar itu mencerminkan kejayaan Asia-Pasifik secara keseluruhan, yang turut maju menerusi keterbukaan dan hubungan dengan dunia, tambahnya.

“Namun, kita tidak boleh menganggap keadaan yang membantu mencapai kejayaan ini akan kekal,” katanya. 

Teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) turut menawarkan peluang besar, namun turut menimbulkan kebimbangan mengenai pekerjaan, keselamatan dan kepercayaan. 

Berdasarkan latar belakang itu, Encik Wong menggariskan tiga keutamaan untuk Apec: memastikan rantau ini kekal terbuka dan saling berhubung; mencari cara baharu untuk bekerjasama walaupun tanpa konsensus penuh; serta memastikan kerjasama ekonomi memberi manfaat kepada perniagaan dan rakyat.

Mengenai perdagangan, beliau menggesa ekonomi Apec supaya memperkukuh perjanjian sedia ada, termasuk Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP), serta mengambil langkah ke arah visi jangka panjang Apec untuk mewujudkan kawasan perdagangan bebas Asia-Pasifik.

“Rantau kita berjaya dengan membina jambatan, bukan sekatan,” katanya.

Usaha untuk mengembangkan perdagangan seharusnya memperkukuh, bukan memecah belah, sistem perdagangan global yang lebih luas, tambah Encik Wong.

Beliau turut menyeru pembaharuan untuk memperkukuh Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) dan mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan.

Memandangkan konsensus dalam kalangan semua ekonomi semakin sukar dicapai, Encik Wong menyokong pendekatan multilateralisme yang lebih fleksibel dan pragmatik.

“Dalam dunia hari ini, mencapai konsensus dalam kalangan semua ekonomi akan menjadi sangat sukar. Namun itu tidak harus menjadi alasan untuk tidak bertindak,” katanya.

Beliau berkata rakan kongsi yang bersedia perlu dapat meneruskan inisiatif baharu, menunjukkan apa yang berkesan, dan membuka ruang untuk negara lain menyertai kemudian.

Beliau turut memetik inisiatif seperti susunan sementara WTO untuk menyelesaikan pertikaian perdagangan, perjanjian e-dagang, serta perkongsian baharu yang berpotensi membawa pendekatan segar dalam perdagangan dan pelaburan.

Ini termasuk Perkongsian Ekonomi Hijau, satu pakatan perdagangan dan pelaburan hijau yang dicadangkan dan dilancarkan oleh Singapura, New Zealand dan Chile, serta Perkongsian Masa Depan Pelaburan dan Perdagangan, sebuah gabungan 20 ekonomi kecil dan sederhana yang bergantung kepada perdagangan.

Singapura merupakan antara ahli pengasasnya.

Encik Wong berkata kejayaan Apec harus diukur berdasarkan peningkatan dalam kehidupan rakyat, bukan pengisytiharan yang dikeluarkan dalam mesyuaratnya.

“Pada akhirnya, kejayaan Apec akan dinilai bukan berdasarkan pengisytiharan yang kita keluarkan, tetapi sama ada perniagaan mendapati lebih mudah untuk berdagang, pekerja mempunyai peluang yang lebih baik, dan rakyat kita melihat peningkatan dalam kehidupan mereka,” tambahnya.