Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong ucap tahniah kepada Perdana Menteri baru UK
PM Wong ucap tahniah kepada Perdana Menteri baru UK
PM Wong ucap tahniah kepada Perdana Menteri baru UK
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong telah mengutuskan surat ucap tahniah kepada Perdana Menteri United Kingdom (UK) yang baru, Encik Andy Burnham.
Dalam suratnya kepada Encik Burnham pada 20 Julai, Encik Wong berkata Singapura dan UK menikmati hubungan dua hala yang erat dan berkekalan, disokong oleh Perkongsian Strategik kedua-dua negara.
“Ia mencerminkan keluasan dan kedalaman kerjasama kedua-dua negara, serta kepercayaan yang telah dibina oleh negara kita selama berdekad lamanya.
“Saya yakin kita akan dapat terus memperkukuh kerjasama merentasi pelbagai bidang, termasuk dalam inovasi, sains dan teknologi, dan pertahanan,” kata Encik Wong..
Dalam surat beliau, Encik Wong berkata kededua negara telah lama menunjukkan bahawa rakan kongsi yang dipercayai boleh mencapai lebih banyak menerusi kerjasama.
Ini meskipun kedua-dua negara menghadapi tempoh ketidakpastian sejagat yang mendalam.
Dalam pada itu, beliau berkata Singapura menghargai penglibatan berterusan UK di rantau ini, termasuk sebagai Rakan Dialog Asean dan Persetujuan Lima Kuasa Pertahanan – merangkumi Australia, Singapura, Malaysia, New Zealand, dan UK.
“Memandangkan Singapura bakal menyandang jawatan Pengerusi Asean dan UK akan menggalas jawatan Presiden G20 pada 2027, kami mempunyai peluang unik untuk bekerjasama rapat bagi memperkukuh kerjasama pelbagai hala dan menangani cabaran sejagat dan serantau yang dikongsi bersama,” ujarnya lagi.
Encik Burnham mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Perdana Menteri United Kingdom sebelum ini, Encik Keir Starmer, sedang negara itu berdepan pelbagai cabaran termasuk perkembangan ekonomi yang perlahan, kos sara hidup yang tinggi, migrasi haram dan ketidaktentuan geopolitik.
Ahli politik kanan Parti Buruh berusia 56 tahun itu menjadi perdana menteri ketujuh Britain dalam tempoh sedekad selepas menerima perkenan Raja Charles III untuk membentuk kerajaan baharu.
Peralihan kuasa itu berlaku hanya dua tahun selepas Encik Starmer membawa Parti Buruh kembali memerintah menerusi kemenangan besar pilihan raya pada 2024, sekali gus menamatkan 14 tahun pemerintahan Parti Konservatif.
Beliau dijadual menyampaikan ucapan sulung di hadapan kediaman rasmi Perdana Menteri di 10 Downing Street sejurus selepas Encik Starmer mengucapkan selamat tinggal kepada rakyat pada 20 Julai.
