Topik diikuti
Pergi ke BHkuPresiden Tharman, PM Wong ucap takziah atas pemergian mantan Amir Qatar
Presiden Tharman, PM Wong ucap takziah atas pemergian mantan Amir Qatar
Sheikh Hamad disifatkan negarawan berwawasan yang mengubah Qatar, perkukuh hubungan dengan S’pura
Presiden Tharman, PM Wong ucap takziah atas pemergian mantan Amir Qatar
Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menyampaikan ucap takziah kepada Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, atas pemergian bapanya, mantan Amir Qatar, Sheikh Hamad Bin Khalifa Al Thani.
Menurut pusat pemerintahan Amiri Diwan dalam satu catatan di wadah X, Allahyarham Sheikh Hamad, yang berusia hampir 74 tahun, meninggal dunia pada pagi 12 Julai.
Tuan Presiden, dalam suratnya, berkata Allahyarham Sheikh Hamad merupakan negarawan luar biasa, dan dengan kepimpinannya yang berwawasan, telah mengubah Qatar dan mengangkat martabat negara itu di pentas sejagat.
“Melalui pandangan jauh dan komitmen teguh beliau terhadap pembangunan negaranya, beliau telah meletakkan asas bagi kemajuan Qatar yang luar biasa dalam pelbagai sektor termasuk tenaga, media, penerbangan dan pendidikan.
“Kepimpinan beliau turut memperkukuhkan peranan Qatar sebagai penyumbang yang membina kepada hal ehwal sejagat, daripada memajukan dialog dan pengantaraan dalam konflik serantau hinggalah kepada menganjurkan perhimpunan antarabangsa utama yang memupuk kerjasama sejagat,” kata Tuan Presiden.
Tuan Presiden turut mengenang persahabatan dan sokongan Allahyarham Sheikh Hamad terhadap Singapura.
Semasa Lawatan Negara ke Singapura pada 2005 dan 2009, Allahyarham Sheikh Hamad telah membantu melakar lembaran baharu dalam hubungan dua hala kedua-dua negara melalui perbincangan mengenai perluasan kerjasama merentasi pelbagai bidang.
“Atas inisiatifnya juga, Singapura dan Qatar telah menubuhkan Jawatankuasa Bersama Peringkat Tinggi Qatar-Singapura pada 2006, yang kekal sebagai wadah penting untuk memajukan perkongsian kita.
“Beliau akan dikenang di Singapura sebagai rakan yang dipercayai, yang memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ikatan antara kedua-dua negara,” tambah Tuan Presiden.
Sementara itu, Encik Wong dalam suratnya berkata Allahyarham Sheikh Hamad, merupakan seorang pemimpin berwawasan yang telah mengubah Qatar menjadi salah satu ekonomi terkemuka di dunia dan suara yang dihormati dalam hal ehwal antarabangsa.
“Di bawah kepimpinan beliau, Qatar berkembang menjadi kuasa berpengaruh di peringkat sejagat dalam tenaga, media dan diplomasi.
“Legasi beliau akan terus membentuk masa depan Qatar untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
Encik Wong turut menyentuh kepentingan lawatan Allahyarham Sheikh Hamad ke Singapura pada 2005, dan menganggapnya “satu peristiwa penting dalam hubungan dua hala kami”.
“Sepanjang dua dekad yang lalu, platform ini telah membolehkan negara kita memperdalam kerjasama merentasi pelbagai sektor, meletakkan asas kukuh untuk perkongsian erat yang kita nikmati hari ini,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam kenyataannya pada 13 Julai, berkata Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K Shanmugam; dan Penasihat Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Encik Teo Chee Hean, akan mewakili Singapura untuk menyampaikan ucap takziah kepada Keluarga Diraja Qatar di Istana Lusail di Qatar pada 14 Julai.
