PM Wong ucap tahniah kepada PM baru Thai
PM Wong ucap tahniah kepada PM baru Thai
PM Wong ucap tahniah kepada PM baru Thai
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, telah menulis surat kepada Perdana Menteri Thailand yang baru, Encik Anutin Charnvirakul, untuk mengucapkan tahniah atas pelantikannya.
Dalam suratnya kepada Encik Anutin, Encik Wong mengesahkan semula persahabatan yang lama terjalin dan perkongsian teguh antara Singapura dengan Thailand yang telah berkembang merentasi pelbagai bidang.
“Bagi pihak pemerintah Singapura, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah di atas pemilihan anda sebagai Perdana Menteri ke-32 Kerajaan Thailand.
“Ini adalah tahun yang penting kerana kita meraikan ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik antara negara kita,” kata Encik Wong.
Dalam suratnya, Encik Wong turut menekankan pemeteraian Perjanjian Pelaksanaan Kerjasama Kredit Karbon yang ditandatangani antara kededua negara baru-baru ini.
Perjanjian dengan Thailand itu adalah yang pertama antara Singapura dengan sebuah negara anggota Asean dan mencerminkan “komitmen bersama kededua negara terhadap pembangunan mampan dan memajukan peralihan hijau”, kata Encik Wong.
Lebih dari itu, Encik Wong berkata perjanjian tersebut juga menunjukkan bagaimana kededua negara boleh bekerjasama untuk mempelopori kepimpinan serantau dalam tindakan iklim.
Encik Wong turut menjemput Encik Anutin agar melawat Singapura pada peluang yang paling awal.
“Saya yakin di bawah kepimpinan anda, kerjasama kita akan terus berkembang secara meluas dan mendalam.
“Kita mempunyai banyak peluang untuk bekerjasama dalam bidang ekonomi digital dan inovasi, ketersambungan dan keselamatan makanan.
“Saya yakin usaha berterusan kita akan membawa manfaat berpanjangan kepada rakyat kita dan menyumbang kepada daya tahan kolektif Asean,” tambah Encik Wong.
Encik Anutin, seorang hartawan binaan terbilang Thailand, disahkan oleh Parlimen pada 5 September sebagai pemimpin baru, menamatkan kekosongan kuasa selama seminggu berikutan penyingkiran Perdana Menteri terdahulu, Cik Paetongtarn Shinawatra.
Semasa Pilihan Raya, Encik Anutin menyatukan gabungan blok pembangkang untuk menewaskan calon Parti Pheu Thai, Encik Chaikasem Nitisiri, lantas menyekat parti politik berpengaruh yang pernah diterajui mantan Perdana Menteri, Encik Thaksin Shinawatra.
Beliau merupakan pemimpin ketiga kerajaan dalam tempoh dua tahun, tetapi telah mengambil alih kuasa dengan sokongan pakatan yang meletakkan syarat supaya beliau membubarkan Parlimen dalam tempoh empat bulan untuk memberi jalan kepada Pilihan Raya baru.
Encik Anutin berkata beliau akan menunaikan janji untuk menerajui kerajaan sementara yang berpecah dengan mengadakan Pilihan Raya kelak dan berikrar untuk mengembalikan keamanan di Thailand.
Sebelum ini, Encik Anutin pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Kesihatan.
Beliau lebih terkenal sebagai arkitek yang meluputkan langkah mensabitkan pengguna ganja sebagai penjenayah di Thailand pada 2022.

