Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 21 November mengucapkan tahniah kepada pemimpin Mauritius, Dr Navinchandra Ramgoolam, atas kemenangannya dalam pilihan raya baru-baru ini dan pelantikannya sebagai perdana menteri.
Dalam surat kepada Dr Ramgoolam, Encik Wong berkata Singapura dan Mauritius menikmati hubungan yang terjalin lama dan mesra.
Beliau berkata: “Negara kita bekerjasama dalam banyak bidang, termasuk dalam pengurusan air, pendidikan, dan pendigitalan. Kita berkongsi komitmen terhadap hubungan pelbagai hala, undang-undang antarabangsa, dan pengaturan antarabangsa berasaskan peraturan.”
Seperti Singapura, Mauritius adalah anggota kumpulan seperti Forum Negara Kecil (Foss), Negara Kepulauan Kecil Membangun, Perikatan Negara Kepulauan Kecil dan Komanwel, tambahnya, lapor The Straits Times.
Dalam surat itu Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, berkata: “Saya berharap dapat bekerjasama dengan anda untuk mengukuhkan lagi perkongsian antara Singapura dengan Mauritius.”
Dr Ramgoolam, 77 tahun, dan pakatan pembangkangnya, Alliance du Changement, menyapu bersih 60 daripada 62 kerusi Dewan Undangan Negara dalam kemenangan besar pada pilihan raya 10 November.
Beliau mengangkat sumpah pada 13 November, menjadi perdana menteri negara pulau Lautan Hindi itu buat kali ketiga, sedekad sejak kali terakhir beliau memegang jawatan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg