Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menulis kepada Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, untuk mengucapkan tahniah atas pelantikan beliau sebagai perdana menteri, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 20 Ogos.
Cik Paetongtarn, 37 tahun, disahkan sebagai Perdana Menteri termuda Thailand pada 18 Ogos, hanya beberapa hari selepas sekutunya, Encik Srettha Thavisin, dipecat sebagai perdana menteri oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand.
Mahkamah Perlembagaan merupakan sebuah badan kehakiman yang menjadi pusat kepada pergolakan politik Thailand selama dua dekad.
Anak perempuan mantan Perdana Menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra, Cik Paetongtarn menang hampir dua pertiga dalam undian Parlimen pada 16 Ogos, untuk menjadi Perdana Menteri wanita kedua Thailand.
Beliau juga merupakan anggota keluarga Shinawatra ketiga yang memegang kuasa, selepas Encik Thaksin dan ibu saudaranya, Cik Yingluck Shinawatra.
Dalam suratnya, Encik Wong berkata Singapura dan Thailand berkongsi hubungan yang lama dan dalam pelbagai aspek, disokong oleh hubungan ekonomi yang kukuh, kerjasama pertahanan yang kukuh, dan pertukaran politik dan rakyat dengan rakyat yang tetap.
“Singapura dan Thailand berkongsi hubungan yang telah lama terjalin dalam pelbagai aspek, disokong oleh hubungan ekonomi yang teguh, kerjasama pertahanan yang kukuh, dan pertukaran kerap politik serta antara rakyat.
“Saya pasti Thailand akan terus maju dan makmur di bawah kepimpinan anda,” kata Encik Wong.
Beliau turut mencatatkan bahawa perkongsian kukuh itu dibina oleh generasi pemimpin secara berturut dan telah berkembang selama bertahun-tahun.
“Kami terus meneroka bidang kerjasama baru, termasuk dalam tenaga bersih, kemampanan dan ekonomi digital,” ujar Encik Wong.
Sebagai rakan kongsi dan jiran yang sehaluan, Singapura dan Thailand juga bekerjasama rapat di forum pelbagai hala, termasuk di Asean.
“Saya yakin persahabatan antara Singapura dengan Thailand akan terus kukuh dan mekar pada tahun-tahun mendatang,” tambah Encik Wong.
Sambil memperingati ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik tahun depan antara dua negara itu, beliau berharap dapat bekerjasama rapat dengan Cik Paetongtarn bagi mendalami dan meluaskan lagi hubungan dua hala antara kededua negara.
Encik Wong dan Cik Paetongtarn bakal bertemu semasa Sidang Puncak Asean yang akan datang di Vientiane, Laos, pada Oktober.
Encik Wong turut mengambil kesempatan mempelawa Cik Paetongtarn dan suaminya, Encik Khun Pidok, ke Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg