Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong ucap takziah kepada keluarga mangsa gangguan Optus di Australia

Panggilan kecemasan anak syarikat Singtel terjejas selama 13 jam pada 18 Sep, sebabkan tiga kematian
Oct 6, 2025 | 6:55 PM
lawrence wong, media Australia, ABC, optus, singtel
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam satu wawancara bersama media Australia, ABC, yang disiarkan pada 6 Oktober. - Foto MDDI

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyampaikan ucapan takziah atas kematian tiga individu di Australia susulan gangguan yang dialami syarikat telekomunikasi Optus, yang juga anak syarikat Singtel.

Panggilan kecemasan melalui rangkaian Optus terjejas selama sekitar 13 jam pada 18 September, dalam kejadian gangguan besar kedua syarikat itu sejak 2023.

Dalam wawancara bersama pihak media Australia, ABC, yang disiarkan pada 6 Oktober, Encik Wong berkata: 

“Pertama sekali, saya amat faham kemarahan, kekecewaan dan rasa tidak puas hati terhadap apa yang berlaku.

“Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada semua yang terjejas akibat gangguan tersebut, khususnya kepada keluarga mangsa dan orang tersayang mereka.”

Gangguan pada 18 September menjejas sekitar 600 panggilan kecemasan, dengan tiga individu – kesemuanya warga emas – ditemui meninggal dunia di kediaman tempat panggilan kecemasan itu dibuat, ketika tempoh gangguan tersebut.

Dua di antara mereka berada di Perth, manakala seorang lagi di Adelaide, lapor The Straits Times (ST).

Kematian keempat melibatkan seorang bayi lelaki berusia lapan minggu dari pinggir bandar Adelaide. 

Kematian tersebut pada mulanya dikaitkan dengan gangguan rangkaian Optus, namun siasatan lanjut mendapati perkara itu tidak mungkin kerana nenek bayi berkenaan segera menggunakan telefon bimbit lain untuk menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Pada 28 September, satu gangguan lebih kecil dan tidak berkaitan telah berlaku di kawasan pinggir bandar di New South Wales, sebelum delegasi Singtel yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Encik Yuen Kuan Moon, tiba di Australia untuk bertemu Menteri Komunikasi, Cik Anika Wells, atas permintaan pemerintah negara tersebut.

Dalam wawancara pada 2 Oktober, Editor Ehwal Global ABC, Cik Laura Tingle, bertanya kepada Encik Wong tentang tindakan yang akan diambilnya secara peribadi bagi memastikan gangguan seumpama itu tidak berulang, sambil berkata beliau yakin gangguan perkhidmatan panggilan kecemasan seperti itu tidak akan diterima di Singapura.

Sebagai menjawab soalan tersebut, Encik Wong berkata: 

“Bagi pihak Singapura, walaupun kami adalah pemegang saham (Singtel) melalui Temasek, kami sentiasa berpegang kepada prinsip asas yang jelas bahawa kami tidak melibatkan diri dalam operasi komersial. Kami tidak mengarah urusan perniagaan.”

Beliau menambah: “Kami mahu syarikat-syarikat ini beroperasi secara komersial dan apabila mereka berbuat demikian serta meluaskan operasi ke luar negara, kami mengharapkan mereka dan anak syarikat mereka mematuhi undang-undang domestik di negara tempat mereka beroperasi, serta menjadi warga korporat yang bertanggungjawab.”

Encik Wong turut menyatakan bahawa Encik Yuen telah berkunjung ke Australia susulan kejadian itu bagi memberi penjelasan kepada pihak pengawal selia.

“Saya pasti mereka (Singtel) akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan pengawal selia, serta bekerja rapat dengan Optus dan mana-mana pihak bebas lain yang dilantik untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap apa yang berlaku.

“Saya berharap mereka dapat menyelesaikan perkara ini secepat mungkin, mengenal pasti punca sebenar, membetulkan isu tersebut serta mengembalikan keyakinan dan kepercayaan (pelanggan) dengan segera,” kata Encik Wong.

“Bagi pihak Singapura, walaupun kami adalah pemegang saham (Singtel) melalui Temasek, kami sentiasa berpegang kepada prinsip asas yang jelas bahawa kami tidak melibatkan diri dalam operasi komersial. Kami tidak mengarah urusan perniagaan. Kami mahu syarikat-syarikat ini beroperasi secara komersial dan apabila mereka berbuat demikian serta meluaskan operasi ke luar negara, kami mengharapkan mereka dan anak syarikat mereka mematuhi undang-undang domestik di negara tempat mereka beroperasi, serta menjadi warga korporat yang bertanggungjawab.”
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg