Topik diikuti
Pergi ke BHkuPM Wong ucap takziah atas pemergian mantan PM China, Zhu Rongji
Sifatkan mendiang sebagai ‘sahabat lama S’pura’; papar wawasan, tegas majukan pembaharuan ekon China
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyampaikan ucap takziah kepada Perdana Menteri China, Encik Li Qiang, atas pemergian mantan Perdana Menteri, mendiang Encik Zhu Rongji.
Encik Zhu meninggal dunia di Beijing pada 12 Ogos, lapor agensi berita rasmi, Xinhua, dua bulan sebelum ulang tahunnya ke-98.
Encik Wong memberi penghormatan kepada Encik Zhu dalam sepucuk surat kepada Encik Li bertarikh 13 Ogos.
Beliau berkata sepanjang kerjayanya yang panjang dan cemerlang dalam perkhidmatan awam, Encik Zhu menunjukkan wawasan dan ketegasan luar biasa dalam memajukan pembaharuan ekonomi China, serta memimpin usaha China dalam penyertaan Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO) pada 2001.
Menyifatkan Encik Zhu sebagai “sahabat lama Singapura”, Encik Wong berkata mantan pemimpin China itu telah bertemu dengan mantan Perdana Menteri Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew, dan Encik Goh Chok Tong, dalam banyak kesempatan.
Menurutnya, pada 1999, Encik Zhu menjadi pemimpin China pertama menyampaikan ceramah dalam Singapore Lecture, siri syarahan awam terkemuka anjuran Iseas-Institut Yusof Ishak, yang menjadi wadah bagi pemimpin dunia dan cendekiawan terkemuka berkongsi pandangan mengenai hal ehwal dunia dan serantau.
“Ucapannya mencerminkan wawasan strategiknya bahawa pembangunan dan pertumbuhan ekonomi China akan memberi manfaat kepada Asia dan dunia.
“Encik Zhu turut mengusulkan penubuhan kawasan perdagangan bebas Asean-China bagi mempererat hubungan ekonomi.
“Hari ini, wawasan beliau menjadi kenyataan, dengan China merupakan rakan ekonomi penting bagi Singapura dan negara-negara di seluruh rantau ini,” kata Encik Wong.
Encik Wong turut berkata hubungan Singapura-China mencapai kemajuan besar di bawah kepimpinan Encik Zhu, yang merupakan antara penyokong awal projek pertama antara kedua-dua negara, Taman Perindustrian Suzhou (SIP) China-Singapura.
Encik Zhu juga menggalakkan pertukaran dan pembelajaran bersama antara pegawai Singapura dengan Shanghai ketika menjadi Datuk Bandar Shanghai, ujar Encik Wong.
“Usaha ini membina asas kukuh bagi hubungan erat dan pertukaran meluas yang dinikmati kedua-dua negara hari ini,” katanya.
“Encik Zhu akan terus dikenang atas sumbangan cemerlang beliau kepada pembangunan China dan hubungan China-Singapura,” tambah Encik Wong.
