Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong berkata pemerintah akan mempertimbangkan secara serius usulan yang dibentangkan belia di Forum Dasar Belia pada 24 Ogos, termasuk bagaimana ia boleh dilaksanakan.
Draf usulan bagi dasar itu dikemukakan 120 belia selepas tempoh penyelidikan, rundingan dan perbincangan melibatkan agensi pemerintah dan pihak berkepentingan lain yang bermula sembilan bulan lalu.
Antara lain, draf usulan itu merangkumi usulan bagi pelan simpanan wang bersama bagi belia gaji lebih rendah untuk membantu kumpulan ini mengumpulkan simpanan kecemasan; program bagi belia meraih pengalaman bekerja dan pendedahan di peringkat serantau; dan standard nasional bagi proses kitar semula.
Encik Wong berkata tidak semua usulan semestinya diterima. Namun hakikat itu tidak harus dijadikan kayu ukur berkenaan usaha yang telah dicurahkan untuk membentuk usulan.
Menambah, Encik Wong berkata usulan mungkin tidak diluluskan berdasarkan pelbagai sebab, seperti usulan yang amat sukar dilaksana atau yang memerlukan banyak sumber yang tiada pada masa ini.
Sementara itu, ada juga usulan yang mungkin memandang terlalu ke hadapan dan hanya boleh dilaksanakan di masa depan, kata beliau lagi.
“Saya mempunyai banyak contoh sebagai pegawai awam, di mana usulan saya tidak diterima juga,” kata beliau kepada sekitar 1,000 peserta di forum belia yang dianjurkan oleh Majlis Belia Kebangsaan (NYC) di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands itu.
“Itu biasa-biasa saja… sebahagian proses menggubal dasar. Justeru ia tidak seharusnya menyekat anda sehingga anda berkata anda terlalu kecewa dan tidak lagi akan menyumbang idea di masa depan,” kata Encik Wong.
Usulan yang dikemukakan disiapkan oleh empat panel belia merangkumi sekitar 120 orang muda berusia antara 15 tahun dengan 35 tahun.
Mereka telah meneliti bidang dasar seperti kemampanan kewangan, kerjaya, peluang pekerjaan, kesejahteraan digital dan memupuk sekitaran berdaya tahan.
Panel itu dihimpunkan pada November 2023, selepas idea tersebut dicetus di Parlimen pada tahun sama oleh Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong,
Ini menyusuli usaha mengumpul maklum balas warga Singapura menerusi Forward Singapore atau Melakar Hala Tuju Singapura, di mana peserta menzahirkan keinginan untuk dibenar melibatkan diri dalam penggubalan dasar negara.
Usulan yang dihasilkan empat panel itu, selepas diperhalusi menjelang akhir 2024, akan diserahkan kepada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, NYC dan agensi pemerintah yang tertentu.
Agensi-agensi itu akan menimbangkan usulan itu dan memberi respons pada separuh pertama 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg