Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Warga baru perlu giat sumbang kepada masyarakat

Jadi warga S’pura bermakna komited kepada nilai yang dikongsi bersama oleh rakyat berbilang bangsa
Aug 31, 2025 | 6:36 PM
perdana menteri Lawrence wong, citizenship
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bersama warga Singapura baru di Majlis Kewarganegaraan Nasional di auditorium Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat pada 31 Ogos. - Foto ST

Warga baru harus mengambil bahagian secara aktif dalam masyarakat dengan mencari cara untuk menyumbang kepada masyarakat, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

Antara lain, mereka boleh berkenalan dengan jiran serta membina hubungan dengan penduduk daripada pelbagai latar belakang, tambahnya.

“Dengan mengambil bahagian secara aktif, anda akan menjadi warga Singapura bukan hanya pada nama, malah dalam bentuk semangat dan jiwa,” ujar Encik Wong.

Beliau turut menambah bahawa mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara menyumbang kepada masyarakat boleh menghubungi pemimpin masyarakat dan akar umbi masing-masing.

Menjadi warga Singapura bermakna seseorang itu komited kepada nilai-nilai yang dikongsi bersama oleh rakyat, kata Encik Wong.

Beliau turut menarik perhatian kepelbagaian budaya sebagai salah satu nilai utama, memandangkan negara ini terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa, agama dan budaya.

“Daripada membiarkan perbezaan memecahbelahkan kita, kita pilih untuk menjadikan kepelbagaian sebagai satu kekuatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Kewarganegaraan Nasional yang berlangsung di auditorium Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat pada 31 Ogos.

Di majlis tersebut, seramai 300 warga Singapura baru daripada GRC Marsiling-Yew Tee menerima sijil kewarganegaraan mereka.

Majlis anjuran Persatuan Rakyat (PA) dengan sokongan Majlis Integrasi Nasional – yang berperanan menggalak perpaduan dan integrasi sosial – itu mula dianjurkan pada 2007 untuk menunjukkan pentingnya kewarganegaraan.

Warga baru diwajibkan menerima sijil kewarganegaraan sama ada di majlis tahunan itu atau di majlis lain yang diadakan di peringkat Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC).

Singapura menerima sekitar 22,000 warga baru setiap tahun.

Turut hadir di majlis itu ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee – Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad; Mayor CDC North West, Encik Alex Yam; serta Cik Hany Soh – dan mantan AP GRC Marsiling-Yew Tee, Encik Ong Teng Koon.

Dalam ucapannya, Encik Wong bercakap tentang dua warga baru yang telah menyumbang kepada masyarakat Singapura.

Salah seorang daripadanya ialah pelajar Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Ye Htut Linn.

Encik Linn tiba di Singapura dari Myanmar pada usia enam tahun bersama keluarga dan menjadi Penduduk Tetap (PR) pada 2011.

Pemuda berusia 24 tahun itu menggambarkan keputusannya menjadi warga Singapura sebagai sesuatu yang semula jadi kerana membesar di sini.

Kini berada di tahun kedua pengajian ijazah Perakaunan, Encik Linn juga merupakan pengasas bersama agensi pemasaran, Am Shots, dan perusahaan sosial Commenhers.

Perusahaan sosial beliau mengambil wanita seperti suri rumah dan warga emas bekerja untuk ‘upcycle’ atau kitar semula sisa kain menjadi produk baru lebih bermutu seperti beg serta aksesori.

Encik Wong berkata warga baru kini merupakan sebahagian daripada Kisah Singapura.

“Sentiasa ingat bahawa masa depan Singapura bukan ditentukan oleh pemerintah sahaja. Ia dibentuk oleh kita semua bersama – warga sedia ada dan warga baru.

“Dengan komitmen dan sumbangan anda, semangat Singapura akan terus hidup dan membawa negara kita ke tahap yang lebih tinggi,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg