Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, atas pemergian isterinya, Allahyarhamha Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Dalam satu catatan Facebook pada 28 September, Encik Wong menyifatkan Allahyarhamha sebagai seseorang yang telah menjalani “kehidupan yang luar biasa” sambil menekankan sumbangan beliau dalam bidang penjagaan kesihatan, pendidikan, dan kemasyarakatan di Malaysia.

“Sumbangan beliau menyentuh kehidupan beberapa generasi rakyat Malaysia.

“Di sebalik sumbangan beliau kepada masyarakat, Dr Siti Hasmah akan dikenang kerana sifat mesra, lemah lembut dan semangatnya untuk menikmati kehidupan.

“Beliau membawa kehangatan jiwa dan semangat dalam setiap perkara yang dilakukannya dan akan sentiasa dikenang oleh mereka yang mengenalinya,” kongsi Encik Wong.

Allahyarhamha Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia pada usia 100 tahun dan menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada 28 September sekitar 9.20 pagi.

Allahyarhamha telah mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr Mahathir, iaitu mantan perdana menteri Malaysia yang paling lama berkhidmat, sejak 1956.

Beliau meninggalkan Dr Tun Mahathir dan tujuh orang anak.