Tahun 2025 dipenuhi dengan perbincangan penting daripada isu sosial, pilihan raya umum (GE) 2025, tokoh masyarakat sehinggalah ke semangat Sukan SEA.
Tiga podcast terbitan Berita Harian (BH) terus muncul sebagai platform utama yang mencerminkan nadi masyarakat Melayu di Singapura.
Menerusi NoTapis, BHerbual dan Kaki Bola, BH telah berusaha memperkukuhkan suara masyarakat, menonjolkan kisah individu serta mengetengahkan pandangan kritikal melalui medium audio dan visual yang semakin popular dalam kalangan pendengar muda.
Antara pendekatan tambahan podcast terbitan BH yang dilakukan termasuk peningkatan penggunaan klip pendek di wadah media sosial Instagram, TikTok dan YouTube.
Melalui ini, kandungan ini bukan saja didengar, tetapi juga dikongsikan secara meluas.
Tahun ini, NoTapis menyerlah dengan pilihan tetamu dan tema mendalam yang dekat dengan masyarakat.
Antara episod paling berkesan pada 2025 ialah perbualan eksklusif bersama mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, yang berkongsi kehidupan selepas meninggalkan Istana.
Meskipun beliau sudah bersara dan hidup secara lebih bebas, hidupnya tetap penuh makna.
Puan Halimah, yang kini Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) telah berkongsi bagaimana beliau kini menggunakan masa lapangnya bersama keluarga dan rakan serta harapannya buat generasi akan datang.
Episod ini juga merupakan sebahagian daripada siri empat episod yang mengetengahkan tokoh Melayu tempatan yang telah meninggalkan kesan bukan saja bagi masyarakat Melayu bahkan Singapura secara keseluruhan.
Selain itu, sepanjang Ramadan 2025, kami telah mengeluarkan siri khas yang menampilkan topik yang dekat di hati masyarakat Muslim.
Siri tersebut telah menyajikan perbincangan bermakna mengenai keimanan, keluarga dan ibadah berpuasa.
Agar perbincangan dan perkongsian itu lebih bermanfaat buat pendengar dan penonton, siri podcast itu turut menampilkan asatizah terkemuka sebagai tetamu jemputan.
Antaranya termasuk Ustaz Fizar Zainal, Ustazah Liyana Musfirah, Ustazah Nadia Hanim dan Ustaz Abdullah Ahmad, yang berkongsi ilmu dan pandangan mereka mengenai pelbagai aspek Ramadan.
Tidak ketinggalan, NoTapis juga berjaya menarik perhatian di peringkat serantau apabila menampilkan bintang antarabangsa, Putri Ariani, penyanyi Indonesia yang mencipta nama selepas kejayaannya di pentas pertandingan bakat global.
Dalam episod tersebut, Putri berkongsi kisah perjuangan, inspirasi muzik, pengalaman sebagai artis yang membawa identiti Nusantara ke peringkat antarabangsa.
Selain NoTapis, siri BHerbual juga muncul sebagai saluran penting dalam membincangkan isu kontemporari yang dekat di hati pendengar.
Pada 2025, siri tersebut memperkukuh peranan sebagai platform dialog terhadap perkembangan politik dan isu semasa, khususnya sepanjang berlangsungnya GE2025.
BHerbual menyediakan ruang untuk memahami hal politik seperti GE2025 dan isu sosial dalam masyarakat.
Episod-episod sepanjang GE2025 yang membincangkan kepimpinan dan perwakilan masyarakat Melayu selepas perubahan portfolio politik turut mendapat perhatian ramai.
Pendengar berpeluang memahami dengan lebih jelas tentang keperluan masyarakat Melayu serta bagaimana ahli politik tempatan merancang untuk menyumbang kepada negara.
Pada masa sama, perbincangan lain seperti isu tempatan seperti bahayanya Kpod dan vape membuka ruang bagi dialog tentang kesihatan mental dan sosial dalam kalangan belia.
Keberanian BHerbual mengangkat topik yang sensitif tetapi relevan membuktikan bahawa kandungan podcast BH tidak terhad kepada hiburan semata-mata, tetapi turut menjadi wahana pendidikan dan kesedaran masyarakat.
Melengkapi ekosistem penerbitan podcast BH, tahun 2025 turut menyaksikan pelancaran Kaki Bola, satu siri yang memberi tumpuan kepada dunia bola sepak tempatan dan serantau.
Dilancarkan pada Ogos 2025, Kaki Bola dikendalikan oleh wartawan BH, Encik Hazman Abdul Aziz, serta usahawan dan bekas pengurus kelab, Farehan Hussein.
Gabungan pengalaman kewartawanan dan pengurusan sukan memberikan penceritaan yang segar, analisis lebih mendalam serta rujukan sejarah lebih terperinci mengenai bola sepak Singapura.
Secara keseluruhannya, tiga podcast terbitan BH sepanjang 2025 ini telah berjaya mengangkat perbincangan yang segar, kritikal dan relevan kepada masyarakat Melayu Singapura.
Menjelang 2026, BH kekal komited memperkasa platform ini dengan kandungan lebih mendalam, tetamu lebih pelbagai dan perspektif yang terus mencerminkan identiti serta aspirasi masyarakat Melayu di Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg