Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga individu istimewa bina kejayaan diri, buktikan tekad mampu ubah hidup

‘Individu ‘neurodivergen’ mungkin hadapi cabaran, tetapi tidak jadikan individu kekurangan
Dec 1, 2025 | 5:30 AM
Nurazah Mazlan, Sharie Mirza Mohamed Zahid, Muhammad Hakim Hamzah
(Dari kanan) Cik Nurazah Mazlan, yang menghidap Sindrom Hemiconvulsions-Hemiplegia-Epilepsi (HHE); Encik Muhammad Hakim Hamzah yang menghidap kelewatan pembangunan global (GDD); dan Encik Sharie Mirza Mohamed Zahid, yang menghidap Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD), berkongsi pengalaman mereka sebagai individu ‘neurodivergen’ dalam masyarakat bersama penerbit podcast, Cik Natasha Mustafa. - Foto STUDIO+65

Dalam masyarakat hari ini, perbualan tentang kesihatan mental semakin terbuka.

Namun, satu topik yang masih sering wujud salah tanggapan adalah neurodivergen – keadaan apabila otak seseorang berfungsi secara berbeza daripada kebiasaan.

Bagi sebahagian individu, label itu datang seiring kekeliruan, stigma dan tanggapan mereka mungkin tidak mampu menjalani kehidupan seperti orang lain.

Namun, bagi segelintir individu, pengalaman mereka membuktikan sebaliknya.

Keadaan tersebut mungkin satu cabaran tetapi ia tidak menghalang mereka menjadi insan berguna.

Antara mereka ialah Encik Sharie Mirza Mohamed Zahid, 32 tahun, yang menghidap Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD).

Encik Sharie Mirza Mohamed Zahid, 32 tahun, telah melalui diagnosis awal 2025 dan disahkan menghidap Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD).
Encik Sharie Mirza Mohamed Zahid, 32 tahun, telah melalui diagnosis awal 2025 dan disahkan menghidap Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD). - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sepanjang hidupnya, beliau sering keliru mengapa tugasan ringkas boleh menjadi mencabar, atau mengapa tumpuannya mudah terganggu meskipun beliau berusaha sedaya upaya.

Satu kejadian di tempat kerja akhirnya mendorongnya untuk mendapatkan penilaian profesional.

“Pengurus saya memberi saya tugasan untuk saya lakukan, tetapi saya tidak dapat memahami bagaimana untuk melakukannya dengan terbaik.

Jadi apabila saya bertanya banyak soalan, saya dilihat seperti tidak cekap.

“Keadaan itu membuat saya rasa tertekan dan menjadikan keadaan saya lebih teruk,” kata Encik Sharie yang bertugas di sebuah syarikat farmaseutikal sebelum ini.

Apabila menerima diagnosis tersebut, Encik Sharie, yang merupakan pelajar Sarjana Undang-Undang (LLM) di Universiti Undang-Undang London, menarik nafas lega.

Menurutnya, diagnosis itu bukan satu beban, tetapi kelegaan yang memberikan pemahaman untuk sesuatu yang selama ini dirasanya tidak dapat dijelaskan.

“Sekarang saya tahu diagnosis ini, saya boleh belajar teknik untuk uruskan keadaan ini,” katanya dalam satu episod NoTapis, podcast terbitan Berita Harian (BH).

Seorang lagi individu yang turut menyertai podcast itu ialah Encik Muhammad Hakim Hamzah, yang berdepan cabaran berbeza.

Menerima diagnosis kelewatan pembangunan global (GDD) sejak usia lima tahun, belia itu membesar dengan kelewatan perkembangan dari segi motor dan pertuturan.

Meskipun Encik Muhammad Hakim Hamzah, menghidap kelewatan pembangunan global (GDD) sejak usia lima tahun, ia tidak pernah menghalang beliau untuk terus berdikari.
Meskipun Encik Muhammad Hakim Hamzah, menghidap kelewatan pembangunan global (GDD) sejak usia lima tahun, ia tidak pernah menghalang beliau untuk terus berdikari. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Namun, Encik Hakim membuktikan keadaannya bukan penghalang untuk menjalani kehidupan seperti orang lain.

Kini berusia 26 tahun, beliau mempunyai pekerjaan di Ashraf’s Cafe, mempunyai rakan-rakan dan cuba sedaya upaya untuk berdikari.

Encik Hakim bertugas secara sambilan dengan membakar biskut dan membungkusnya untuk dijual serta melakukan kerja pembersihan di kafe tersebut.

“Ada orang yang mengatakan saya lakukan kerja agak lambat kerana saya memerlukan lebih masa untuk memahami arahan. Tetapi ini tidak menghalang saya untuk cuba yang terbaik.

“Apabila saya kerja, saya beri tumpuan untuk bekerja keras dan berdikari,” katanya yang didiagnosis pada usia lima tahun.

Menurutnya, sokongan keluarga dan keyakinan diri membuatkan Encik Hakim sentiasa positif tentang masa depannya.

Rakan kerjanya, Cik Nurazah Mazlan, 37 tahun, yang menghidap Sindrom Hemiconvulsions-Hemiplegia-Epilepsi (HHE), juga berkongsi perspektif sama.

Meskipun Cik Nurazah Mazlan, memerlukan kerusi roda bermotor untuk bergerak, beliau tetap kekal positif.
Meskipun Cik Nurazah Mazlan, memerlukan kerusi roda bermotor untuk bergerak, beliau tetap kekal positif. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

HHE menyebabkan Cik Nurazah mengalami serangan sawan secara tiba-tiba dan ada rasa lemah pada sebelah badannya.

Disebabkan keadaannya, Cik Nurazah bergantung pada kerusi roda bermotor untuk bergerak.

Walaupun pernah berdepan keadaan apabila orang tidak memahami keadaannya, Cik Nurazah kekal positif.

Bagi beliau, penerimaan yang penting bukan hanya daripada masyarakat bahkan lebih penting daripada dirinya sendiri.

“Saya rasa yang penting adalah saya harus terima diri saya seadanya sebelum orang lain boleh terima saya dalam masyarakat,” jelasnya.

Dalam wawancara bersama NoTapis, Cik Nurazah berkata walaupun terdapat lebih kesedaran tentang individu neurodivergen, masih lebih banyak yang boleh dilakukan.

Antaranya termasuk lebih ruang berinteraksi bersama mereka yang neurodivergen, selain syarikat yang mengambil kakitangan individu neurodivergen sebagai usaha untuk bersepadu.

“Jika orang ramai dapat berinteraksi bersama kami, mereka boleh memahami bahawa kita mungkin berbeza tetapi tidak kurang,” jelasnya.

Watch on YouTube
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg