Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Poliklinik Khatib dibuka, dakap teknologi dalam penjagaan kesihatan

May 13, 2024 | 5:49 PM
Poliklinik Khatib di 690 Yishun Ring Road dibuka secara rasmi pada 13 Mei. 
Poliklinik Khatib di 690 Yishun Ring Road dibuka secara rasmi pada 13 Mei.  - Foto ST


Ibu bapa kini tidak perlu bertemu doktor secara fizikal untuk mendapatkan nasihat bagi diet pemakanan anak-anak mereka. Sebaliknya, mereka boleh sahaja berbuat sedemikian dengan teleperubatan.

Dinamakan Tele-Dietitian, perkhidmatan secara maya itu membolehkan pakar pemakanan memerhati ibu bapa, datuk dan nenek dan penjaga bersama anak-anak mereka semasa waktu makan menerusi perundingan video. Pakar pemakanan akan juga dapat campur tangan dalam masa nyata, memberikan nasihat praktikal tentang diet pisah susu dan diet khas.

Tele-Dietitian ialah antara perkhidmatan penjagaan kesihatan yang ditawarkan di Poliklinik Khatib, yang baru dibuka secara rasmi pada 13 Mei. 

Selain itu, poliklinik tersebut juga menyediakan Stesen Tekanan Darah Bantu Diri baru, yang mana bacaan akan dihantar secara automatik ke rekod pesakit dan disediakan semasa perundingan mereka.

Kededua kemudahan itu merupakan sebahagian daripada usaha Poliklinik Khatib memanfaatkan teknologi dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih mudah diakses dan lancar kepada penduduk di bahagian Utara Singapura itu.

Poliklinik di 690 Yishun Ring Road itu ialah yang kesembilan kendalian Kumpulan Penjagaan Kesihatan Nasional (NHG). Secara keseluruhan, kini terdapat 26 poliklinik serata pulau. Menjelang 2030, Singapura menyasar membuka 32 poliklinik.

Berucap di pembukaan rasmi Poliklinik Khatib pada 13 Mei, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga dan Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata:

“Poliklinik kami bukan sahaja merawat orang sakit; mereka memainkan peranan penting dalam menyampaikan penjagaan pencegahan. Mereka berusaha untuk memperkasakan warga Singapura – warga emas dan penduduk yang lebih muda – untuk menjaga kesihatan mereka dan merupakan kunci dalam usaha berterusan kami di bawah SG Lebih Sihat.”

Sebagai usahanya mencegah masalah kesihatan, Poliklinik Khatib menampilkan Plaza Komuniti dan Studio Kesihatan, dengan penduduk daripada semua peringkat umur boleh menyertai aktiviti dan belajar tentang pelbagai cara menjaga kesihatan. Penduduk juga boleh mendapat perkhidmatan penjagaan gigi di poliklinik itu. 

Selain itu, keluarga muda dan warga tua boleh mendapat lebih banyak sokongan di Poliklinik Khatib.

Di bawah program Pemantauan bagi Ibu Bayi Kecil dan Kanak-Kanak (Embrace), para ibu boleh menerima penjagaan susulan dan pemeriksaan kesihatan yang berkaitan, seperti pemeriksaan untuk potensi gejala kemurungan selepas bersalin, secara serentak semasa lawatan ke poliklinik untuk menemani anak mereka bagi imunisasi dan pemeriksaan pembangunan kanak-kanak.

Mereka juga boleh mendapat perkhidmatan sokongan laktasi, yang mana jururawat di poliklinik dapat memberikan kata-kata semangat dan nasihat dalam menangani masalah menyusu badan.

Bagi warga emas, mereka yang mendapat rawatan di Poliklinik Khatib boleh dihubungkan dengan Pusat Penuaan Aktif (AAC) berdekatan dengan rumah mereka dan program yang sesuai dalam masyarakat.

Kerjasama ini, yang bertujuan menggalak warga tua terus terlibat dan bersosial secara aktif dalam masyarakat, dibentuk menerusi program Enrich. 

“Saya yakin Poliklinik Khatib akan menawarkan perkhidmatan yang holistik dan berkualiti kepada penduduk, daripada warga emas dan keluarga muda kepada kanak-kanak dan belia, membolehkan semua untuk hidup dan menua dengan baik,” tambah Encik Masagos.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg