Pengguna Telegram harus berhati-hati dengan mesej penipuan yang mendakwa menyediakan pautan maklumat mengenai skim Baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan MediSave, kata polis pada 16 Julai.

Menurut polis, varian penipuan ini telah muncul sekali lagi, dan telah menyebabkan akaun Telegram mangsa diambil alih.

Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan pada 9 Julai bahawa kira-kira 1.5 juta rakyat Singapura akan menerima sehingga $850 dalam bayaran tunai Baucar GST pada Ogos.

Sekitar 710,000 warga emas pula akan menerima sehingga $450 dalam tokokan MediSave, dengan jumlahnya bergantung pada pendapatan dan nilai rumah mereka.

Mangsa penipuan akan menerima mesej yang mengandungi infografik yang menggesa mereka menyemak kelayakan menerusi pautan palsu yang disertakan dalam mesej Telegram tersebut.

Apabila mangsa mengklik pautan tersebut, mereka akan diminta mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor telefon bimbit, nama atau nombor kad pengenalan (NRIC).

Mereka juga mungkin diminta memberikan kod pengesahan Telegram yang membolehkan penipu mengambil alih akaun Telegram mereka. 

Penipu kemudian akan menggunakan akaun yang dirampas itu untuk menghantar pautan pancingan data (phishing) kepada kenalan mangsa atau menambah mereka ke dalam kumpulan sembang yang mempromosikan skim pelaburan penipuan.

Polis berkata hanya pemberitahuan SMS daripada ‘gov.sg’ yang akan memaklumkan rakyat Singapura mengenai faedah yang diterima mereka.

Rakyat tidak akan diminta membalas SMS tersebut, mengklik sebarang pautan, atau memberikan sebarang maklumat kepada penghantar.

Orang ramai boleh melayari govbenefits.gov.sg untuk maklumat lanjut.

Polis menambah bahawa MOF tidak mempunyai saluran siaran di Telegram dan tidak akan menghubungi orang ramai menerusi platform tersebut.

Penyelidik keselamatan kanan untuk penyelidikan dan pembangunan di Acronis Threat Research Unit, Encik Jozsef Gegeny, berkata mesej mengenai bayaran pemerintah merupakan umpan pancingan data yang sangat berkesan kerana ia menggabungkan kepercayaan dan insentif kewangan.

Pakar keselamatan siber itu berkata: “Orang ramai biasa dengan pengumuman sah mengenai baucar, rebat dan bantuan tunai, jadi mereka lebih cenderung untuk klik mesej yang kelihatan datangnya daripada agensi pemerintah.”

Polis mengingatkan orang ramai bahawa pihak berkuasa tidak akan sesekali meminta mereka mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan menerusi panggilan telefon, media sosial atau e-mel untuk menuntut baucar pemerintah.

Mereka juga tidak akan meminta orang ramai memindahkan wang atau memasang aplikasi mudah alih daripada kedai aplikasi tidak rasmi untuk menuntut baucar sebegini atau faedah tunai pemerintah yang lain.

Encik Gegeny menasihatkan mereka yang telah memberikan maklumat perbankan supaya segera menghubungi bank masing-masing untuk melindungi akaun mereka, menyekat kad jika perlu, dan memantau sebarang transaksi yang tidak dibenarkan.

Beliau berkata: “Semakin cepat tindakan diambil, semakin besar peluang untuk mengelakkan kerugian kewangan.”

Untuk melaporkan maklumat berkaitan penipuan, orang ramai boleh menghubungi talian hotline polis di 1800-255-0000 atau menghantar butiran secara dalam talian di www.police.gov.sg/iwitness

Untuk maklumat lanjut mengenai penipuan, layari www.scamshield.gov.sg, atau hubungi Talian Bantuan ScamShield di 1799.