Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis gesa waspada penipuan libatkan penyamaran pesuruhjaya

Dec 28, 2025 | 2:29 PM
Singapore, SPF, police, scam, impersonation, penyamaran, penipuan
Mangsa akan menerima e-mel daripada penipu yang menyamar sebagai Pesuruhjaya Polis. - Foto PASUKAN POLIS SINGAPURA

Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap penipuan melibatkan individu yang menyamar sebagai Pesuruhjaya Polis, iaitu pegawai polis berpangkat paling tinggi.

Dalam jenis penipuan itu, mangsa akan menerima e-mel daripada penghantar yang menyamar sebagai Pesuruhjaya Polis, kata pihak polis dalam satu kenyataan pada 28 Disember.

E-mel tersebut, menurut polis, mengandungi “surat amaran” yang mendakwa bahawa pihak polis dan Agensi Keselamatan Siber Singapura (CSA) telah memulakan siasatan terhadap penerima e-mel tersebut kerana terlibat dalam kegiatan jenayah.

Menurut polis, dalam “surat amaran” itu, mangsa akan diberitahu untuk menghantar kenyataan bertulis kepada alamat e-mel yang ditetapkan.

Surat itu menyatakan bahawa jika individu gagal berbuat demikian, mangsa akan menghadapi akibat seperti penangkapan.

Dalam kenyataan mereka pada 28 Disember, polis menekankan bahawa e-mel tersebut tidak dikeluarkan oleh mereka atau mana-mana pegawai pemerintah, lapor The Straits Times (ST).

Polis juga mengingatkan orang ramai bahawa pegawai pemerintah tidak akan meminta orang ramai untuk memindahkan wang, mendedahkan butiran log masuk bank, memasang aplikasi mudah alih dari kedai aplikasi tidak rasmi, atau memindahkan panggilan telefon kepada pihak polis atau pegawai pemerintah lain.

Orang ramai tidak seharusnya memindahkan atau menyerahkan wang, mata wang kripto atau barang berharga lain kepada orang yang tidak dikenali atau kepada sesiapa yang identitinya belum disahkan, kata polis.

Orang ramai juga diingatkan supaya tidak meninggalkan wang atau barang berharga di lokasi fizikal untuk orang lain ambil kemudian, dan tidak mendedahkan butiran peribadi kepada orang yang tidak dikenali, tambah pihak polis.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg