Mulai Oktober, individu yang telah diberi amaran, didakwa, disabit kesalahan atau sedang disiasat kerana kegiatan keldai wang mungkin akan dihalang daripada mendaftar talian telefon baru, serta disekat daripada mengakses perkhidmatan perbankan dan pengesahan identiti kebangsaan.
Langkah baru itu adalah sebahagian daripada usaha bersepadu Pasukan Polis Singapura (SPF), Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech) bagi mengehadkan akses keldai wang terhadap kemudahan yang boleh digunakan untuk melakukan penipuan.
Di bawah undang-undang Singapura, kesalahan jenayah berkaitan keldai wang melibatkan salah guna kemudahan seperti akaun bank, pembayaran, identiti kebangsaan atau syarikat telekomunikasi untuk melakukan penipuan.
Dalam kenyataan bersama pada 17 September, pihak berkuasa dan agensi terlibat berkata untuk menipu mangsa, penipu banyak bergantung kepada akaun yang dibeli daripada keldai wang atau individu yang mahu mendapat duit dengan mudah dan cepat.
“Polis berhasrat mengambil tindakan lebih tegas terhadap keldai wang yang membantu dalam kegiatan penipuan ke atas rakyat Singapura.
“Rangka kerja sekatan kemudahan ini memastikan individu yang sebelum ini pernah membantu dalam kegiatan penipuan tidak boleh sewenang-wenangnya mengakses semula perkhidmatan yang boleh digunakan untuk penipuan lain,” jelas kenyataan tersebut.
Akaun bank boleh digunakan untuk memindahkan wang hasil penipuan antara bank, termasuk ke luar negara, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa menjejakinya.
Antara kaedah biasa yang digunakan termasuk perbankan dalam talian, perkhidmatan pembayaran segera PayNow, urus niaga berasaskan kad dan pengeluaran tunai dari mesin ATM, lapor The Straits Times (ST).
“Penipu juga semakin mengambil kesempatan daripada ciri tanpa nama dalam urus niaga mata wang kripto untuk memindahkan wang hasil penipuan,”tambah kenyataan itu.
Talian telefon tempatan pula digunakan untuk menghubungi mangsa, memandangkan rakyat Singapura kini lebih berwaspada terhadap panggilan atau mesej daripada nombor luar negara.
Nombor tempatan turut digunakan untuk membuka akaun media sosial bagi ‘menjangkau’ lebih ramai mangsa.
Menurut kenyataan itu, lebih 11,000 talian telefon telah digunakan oleh keldai wang yang melakukan kesalahan berulang pada 2025.
“Dalam beberapa kes, keldai wang yang sedang disiasat terus mendaftar bagi talian telefon baru dan menjualnya kepada penipu,” kata pihak berkuasa sambil menambah bahawa polis turut mendapati peningkatan talian penipuan yang didaftarkan oleh entiti korporat.
Perkhidmatan pengesahan identiti kebangsaan atau entiti seperti Singpass dan Corppass boleh digunakan untuk membuka akaun bank atau menubuhkan entiti korporat bagi mendaftar talian telefon baru.
Langkah sekatan itu diperkenalkan sedang isu penipuan terus menimbulkan kebimbangan di Singapura.
Hampir setengah bilion dolar telah lesap akibat penipuan hanya dalam tempoh enam bulan pertama 2025, dengan hampir 20,000 kes dilaporkan di negara ini.
“Kejayaan sindiket penipuan bergantung kepada individu tempatan yang memberi akaun bank, talian telefon dan kemudahan lain kepada sindiket.
“Kita perlu mengehadkan akses penipu kepada kemudahan ini untuk menggagalkan operasi mereka dan melindungi orang ramai,” kata pihak berkuasa.
Sekatan akses kepada perkhidmatan perbankan dan larangan mendaftar talian telefon baru akan bermula pada Oktober, manakala sekatan ke atas Corppass dan Singpass akan dikuatkuasakan kemudian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg