Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zulfikar tuduh AP Melayu gagal wakil masyarakat Islam S’pura

Apr 26, 2025 | 12:07 AM
Zulfikar Mohamad Shariff, Zai Nal
Encik Zulfikar Mohamad Shariff, atau dikenali sebagai ‘Zai Nal’ di Facebook, berkata masyarakat Islam Singapura tidak memerlukan seorang lagi AP yang tidak mewakili pandangan mereka. - Foto FACEBOOK

Pengguna Facebook ‘Zai Nal’, yang dikenal pasti sebagai Encik Zulfikar Mohamad Shariff, merupakan warga Australia yang telah melepaskan kewarganegaraan Singapura pada 2020.

Beliau antara beberapa warga asing yang hantaran Facebook mereka disekat kerana menyasarkan rakyat Singapura dan merupakan satu bentuk masuk campur dalam ehwal dalaman negara.

Dalam hantaran beliau, Encik Zulfikar menuduh beberapa Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam gagal mewakili kepentingan masyarakat Islam, sambil berkata masyarakat Islam setempat tidak memerlukan seorang lagi AP Melayu yang tidak mewakili pandangan mereka.

Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Pilihan Raya (ELD), dalam satu kenyataan bersama pada 25 April, berkata: “Hantaran ini disasarkan kepada rakyat Singapura dan merupakan satu bentuk campur tangan dalam politik dalaman negara, yang sepatutnya hanya melibatkan warga.

“Ia juga menggesa rakyat Singapura supaya mengundi berdasarkan garis perkauman dan keagamaan, serta telah mencetuskan lebih banyak hantaran serupa di media sosial.

Tindakan Encik Zulfikar telah menjadikan radikal sekurang-kurangnya dua lagi rakyat Singapura, tambah kenyataan itu.

Beliau juga telah menyeru masyarakat Islam agar “menentang sistem negara yang berperlembagaan, sekular dan demokratik, dan sebaliknya menyokong penubuhan sebuah negara Islam yang ditadbir mengikut undang-undang syariah”.

“Beliau percaya bahawa keganasan boleh digunakan sekiranya perlu untuk mencapai matlamat tersebut,” kata MHA dan ELD.

“Ini semua berpotensi meretakkan keharmonian penduduk berbilang bangsa dan agama, yang menjadi asas negara kita.”

Kita tidak sepatutnya mencampur-adukkan agama dengan politik. Singapura adalah sebuah negara sekular, kata MHA dan ELD lagi.

Encik Zulfikar, dalam hantaran Facebook yang telah dipadam, berkata: “Kita tidak perlukan seorang lagi AP Melayu daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang ‘bekerja di belakang tabir’.

“Kita perlukan pemimpin yang berani menyuarakan kebenaran”, tambahnya.

Hantarannya, ‘Hijab in Singapore: Why PAP Malay MPs Cannot be Our Hope’, mengkritik AP Melayu PAP sebagai tidak vokal dalam memperjuangkan isu masyarakat Islam, khususnya dalam isu pemakaian hijab, dan menggesa perlunya pemimpin yang berani bersuara secara terbuka.

Beliau juga mengkritik AP Melayu PAP kerana dianggap tidak vokal dalam memperjuangkan isu-isu masyarakat Islam, khususnya berhubung pemakaian hijab.

Encik Zulfikar turut menggesa agar masyarakat disokong oleh pemimpin yang lantang dan berani bersuara secara terbuka.

Encik Zulfikar Mohamad Shariff, dalam satu hantaran Facebooknya, berkata masyarakat Islam Singapura tidak memerlukan seorang lagi Anggota Parlimen (AP) yang tidak mewakili pandangan mereka. Hantaran tersebut telah dipadamkan.
Encik Zulfikar Mohamad Shariff, dalam satu hantaran Facebooknya, berkata masyarakat Islam Singapura tidak memerlukan seorang lagi Anggota Parlimen (AP) yang tidak mewakili pandangan mereka. Hantaran tersebut telah dipadamkan. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK/ZAI NAL

Dalam satu lagi hantaran, Encik Zulfikar mengecam calon PAP dan parti itu atas rasuah sistematik.

Beliau telah mempengaruhi orang ramai bahawa PAP bersifat rasuah dan menggesa mereka supaya “memahami bagaimana institusi awam yang sepatutnya berkhidmat kepada rakyat telah diperalat untuk mengekalkan kuasa politik”.

Encik Zulfikar Mohamad Shariff turut mengkritik Parti Tindakan Rakyat (PAP) di akaun Facebooknya, Zai Nal.
Encik Zulfikar Mohamad Shariff turut mengkritik Parti Tindakan Rakyat (PAP) di akaun Facebooknya, Zai Nal. - Foto TANGKAP LAYAR FACEBOOK/ZAI NAL

Encik Zulfikar pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2016 kerana secara aktif mempromosikan keganasan dan memuliakan kumpulan pengganas ISIS dalam talian, kata MHA dan ELD. 

Beliau telah menetap di Australia sejak 2002, setelah meninggalkan Singapura bersama keluarganya setelah berbeza pandangan dengan pemimpin Melayu/Islam dan pihak berkuasa.

Encik Zulfikar turut menyertai pertubuhan tegar Hizbut Tahrir, dan menjalin serta memelihara hubungan dengan pendakwah radikal di Australia.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg