Ramai dijangka berada di kawasan Geylang dari 26 Februari hingga 31 Mac dengan bermulanya Bazar Raya Geylang Serai yang berlangsung sehingga akhir Ramadan.
Dalam satu nasihat yang dikeluarkan pada 27 Februari, polis berkata pengguna jalan raya boleh menjangkakan lalu lintas sesak di sepanjang Changi Road dan Sims Avenue dalam tempoh itu.
Pemandu kenderaan dinasihatkan supaya mengelak jalan-jalan yang terjejas, mengatur perjalanan alternatif dan memandu dengan berhati-hati.
Pegawai polis bantuan juga akan ditempatkan di jalan dan persimpangan yang terjejas untuk mengawal lalu lintas dan membantu orang awam, lapor The Straits Times (ST).
Tindakan akan diambil terhadap pemandu yang meletak kenderaan sembarangan, tambah polis.
Polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak terjebak dengan penipuan semasa membeli-belah dalam talian atau menyewa kenderaan dalam tempoh tersebut.
Penipu akan membuat tawaran menarik yang tidak wujud dan kemudian menghilangkan diri selepas menerima pembayaran.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti tidak memasang perisian daripada sumber yang tidak disahkan, dan memastikan privasi apabila memasukkan butiran peribadi atau butiran log masuk bank.
Mereka juga harus memberitahu rakan dan keluarga mereka tentang kemungkinan penipuan dan menasihati mereka supaya tidak berasa terdesak untuk bertindak secara terburu-buru.
Pihak polis juga memberi amaran bahawa mereka yang menyalahgunakan bunga api – misalnya dengan menggabungkan beberapa bunga api dan menghidupkannya sekali gus – boleh menghadapi hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga $5,000, atau kededuanya.
Mereka yang menyakiti orang lain dengan percikan bunga api boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda, atau kededuanya.
Memandangkan ramai orang dijangka berada di Geylang Serai semasa musim perayaan, pengunjung diingatkan supaya berwaspada dan menjaga barangan milik mereka.
Sebagai contoh, mereka harus memastikan beg mereka ditutup dan digalas di hadapan mereka, kata polis.
Adalah lebih baik untuk tidak menyimpan dompet dalam saku belakang, tambah polis, sambil mengingatkan orang ramai supaya berwaspada jika ada orang atau kegiatan yang mencurigakan.
Bazar Raya Geylang Serai yang menjadi tumpuan membeli-belah dan menjamu selera, mempunyai sekitar 500 gerai yang menawarkan pelbagai pilihan barangan dan makanan.
Terdapat juga persembahan secara langsung setiap hari sepanjang tempoh bazar itu, termasuk muzik tradisional dan segmen komedi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg