Parti Pekerja (WP) telah turun padang di sekurang-kurangnya lapan kawasan undi, termasuk GRC Tampines dan Pasir Ris-Punggol, menggambarkan ia bersedia menandingi satu pertiga daripada kerusi di Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.
Sembilan wajah baru dan bekas calon dilihat bersama Ahli Parlimen (AP) WP di kawasan-kawasan undi itu, termasuk untuk mengisi dua kerusi kosong di GRC Sengkang dan Aljunied.
WP mungkin meletakkan lebih 30 calon pada pilihan raya umum akan datang, berbanding 21 pada pilihan raya lalu, lapor The Straits Times.
Ini sejajar dengan matlamat lama parti itu ingin memenangi sepertiga kerusi di Parlimen. WP belum mengumumkan bilangan calon atau kawasan undi yang akan ditandinginya.
Di GRC Sengkang, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, pengurus hartanah Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC), dilihat bersama AP kawasan undi itu, Encik Louis Chua dan Profesor Madya Jamus Lim, di beberapa acara.
Beliau mungkin menggantikan tempat Cik Raeesah Khan, yang mengundurkan diri sebagai AP pada November 2021.
Pengunduran Encik Leon Perera pada Julai 2023 meninggalkan tempat kosong di GRC Aljunied. Pengganti berpotensi termasuk Encik Kenneth Tiong dan Encik Jackson Au, yang dilihat bersama AP Aljunied di beberapa acara dan lawatan menemui penduduk pada 2024.
Encik Au juga merupakan anggota pasukan media WP dan dilihat bersama pasukan parti itu di Marine Parade baru-baru ini.
Ahli WP juga dilaporkan melakukan lawatan ke Punggol West dan kawasan lain di Punggol, yang kini berada di bawah GRC Pasir Ris-Punggol.
Antara mereka ialah Encik Tan Kong Soon, Cik Lee Li Lian, dan Encik Yee Jenn Jong. Encik Tan, yang menjadi ahli WP sejak 2007, adalah timbalan setiausaha dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu.
Beliau terlibat dalam CEC parti itu pada 2016 dan 2022, dan pernah menjadi pembantu perundangan bekas ketua WP dan AP GRC Aljunied, Encik Low Thia Khiang, dan naib presiden sayap pemuda parti itu.
Menurut sumber, pasukan itu telah melakukan lawatan ke rumah dan memperkenalkan diri mereka kepada penduduk sejak hampir dua tahun lalu, kerana kemungkinan perubahan sempadan yang membawa kepada pembentukan GRC baru.
WP tidak bertanding di GRC Pasir Ris-Punggol pada 2020, tetapi mencalonkan Cik Tan Chen Chen di Punggol West, di mana beliau mendapat 39 peratus undi. Cik Tan dijangka tidak bertanding pada 2025.
Ahli WP lain yang aktif membuat lawatan di sekitar kawasan penduduk termasuk Encik Harpreet Singh Nehal di GRC Marine Parade dan Encik Ang Boon Yaw di GRC East Coast. Encik Ang kini timbalan setiausaha penganjur CEC parti itu.
Encik Harpreet Singh mula menjadi sukarelawan parti itu pada 2012, membantu sesi bertemu penduduk bersama bekas AP GRC Aljunied, Encik Chen Show Mao.
Seorang lagi calon berpotensi ialah Encik Jasper Kuan, seorang pakar strategi digital dalam sektor kewangan dan pembayaran. Beliau muncul dalam sebuah dokumentari Hougang oleh WP pada 2024, di mana beliau dilihat berbual bersama penduduk bersama AP semasa, Encik Dennis Tan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg