Polis sedang menyiasat insiden buli membabitkan sekumpulan pelajar sekolah menengah, selepas video yang dirakamkan pada 2023 menunjukkan kumpulan itu membuli seorang pelajar muncul dalam talian.
Dalam video TikTok yang dimuat naikkan pada 15 September, sekurang-kurangnya lima remaja yang kelihatan memakai pakaian seragam Sekolah Menengah Bukit View dilihat mengelilingi rakan sebaya mereka dengan beg galas di kolong flat HDB.
Kumpulan remaja itu, berpakaian seluar panjang, kelihatan mentertawakan budak bersaiz lebih kecil yang sedang berseluar pendek.
Salah seorang daripada mereka kemudiannya mengambil beg galas budak itu dan menendangnya dari belakang, menyebabkan dia terjatuh dan terbaring.
Video itu, yang kini telah dipadamkan, telah mencatat hampir 600,000 tontonan setakat jam 11 pagi pada 16 September.
Pengetua Sekolah Menengah Bukit View, Encik Jaswant Singh, semasa dihubungi The Straits Times berkata kejadian itu berlaku pada Oktober 2023 di luar premis sekolah.
Ia tidak dilaporkan kepada pihak sekolah pada masa itu.
Tambahnya, pihak sekolah segera memeriksa mangsa berikutan penyebaran video itu.
Mangsa tidak melaporkan sebarang kecederaan ketika kejadian.
“Pihak sekolah memandang serius terhadap salah laku sedemikian dan akan menasihati pelajar-pelajar terbabit serta mengenakan tindakan disiplin yang sesuai,” kata Encik Singh.
Laporan polis juga telah dibuat oleh ibu bapa mangsa, tambahnya lagi.
Polis mengesahkan bahawa laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg