Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis S’pura bantu Interpol banteras pemerdagangan manusia

Operasi Liberterra II berjaya selamat 3,222 mangsa penyeludupan manusia di 116 negara
Nov 26, 2024 | 7:02 PM
Polis Antarabangsa Interpol telah menyelamatkan 3,222 mangsa penyeludupan manusia dalam operasi terbesar yang dikenali sebagai Operasi Liberterra II, dari 29 September hingga 4 Oktober.
Polis Antarabangsa Interpol telah menyelamatkan 3,222 mangsa penyeludupan manusia dalam operasi terbesar yang dikenali sebagai Operasi Liberterra II, dari 29 September hingga 4 Oktober. - Foto ST

Operasi global oleh Polis Antarabangsa Interpol telah membongkar puluhan kes yang menyaksikan individu diculik dan dipaksa bekerja di pusat penipuan untuk memperdaya orang lain.

Interpol berkata ini menandakan satu perubahan daripada cara penyeludupan tradisional, dengan eksploitasi manusia menjadi satu-satunya matlamat jenayah.

Sindiket penipuan kini memperdaya mangsa dengan janji palsu pekerjaan dan menahan mereka di pusat penipuan melalui ugutan dan penderaan.

Pada 6 November, Interpol berkata ia menyelamatkan 3,222 mangsa penyeludupan manusia selepas operasi terbesar mereka, yang dikenali sebagai Operasi Liberterra II, melibatkan penyeludupan manusia dari 29 September hingga 4 Oktober.

Operasi tersebut dijalankan di 116 negara dan wilayah, dengan 2,517 tangkapan dilakukan.

Lebih 800 daripada tangkapan tersebut adalah atas tuduhan penyeludupan manusia atau golongan migran.

Interpol mengesahkan bahawa Singapura adalah negara yang menyertai Operasi Liberterra II tetapi tidak memberi butiran mengenai penglibatannya.

The Straits Times telah menghubungi Pasukan Polis Singapura (SPF) untuk mendapatkan butiran mengenai peranan mereka dalam operasi tersebut.

Interpol berkata keutamaan operasinya menyasarkan pusat penipuan dalam talian yang menggunakan mangsa penyeludupan manusia.

Langkah itu diambil sejak ia memberi amaran kepada negara anggota, termasuk Singapura, mengenai trend sejagat itu.

Di Singapura, lebih $2.7 bilion hilang akibat penipuan sejak 2019, dengan mangsa kehilangan lebih $385.6 juta pada separuh pertama 2024.

Setiausaha Agung Interpol, Encik Jurgen Stock, berkata dalam usaha berterusan untuk meraih untung, kumpulan jenayah terancang terus mengeksploitasi lelaki, wanita, dan kanak-kanak, biasanya secara berulang kali.

Lebih 17,700 migran merentas sempadan antarabangsa tanpa kebenaran rasmi daripada pihak berkuasa, turut dikenal pasti semasa operasi tersebut.

Pihak berkuasa di seluruh dunia telah menjalankan serbuan polis, memperkuat titik sempadan strategik, memantau hampir 24,000 penerbangan dan mengerahkan pegawai ke kawasan yang diketahui terlibat dalam penyeludupan manusia, kata Interpol.

Di peringkat sejagat, hampir lapan juta pemeriksaan dilakukan terhadap pangkalan data Interpol.

Unit penyelaras operasi turut ditubuhkan di Argentina, Senegal, Filipina dan Macedonia Utara untuk menilai maklumat perisikan dan memudahkan kerjasama antara negara.

Di Filipina, pegawai telah menyerbu sebuah gudang dengan lebih 250 orang, kebanyakannya warga China, yang terlibat dalam penipuan cinta berskala besar, kata Interpol.

Sindiket penipuan diketahui menyasarkan penduduk di Singapura.

Pada Jun, dua lelaki berusia 26 dan 47 tahun yang menyasarkan rakyat Singapura dalam penipuan perisian hasad telah ditangkap.

Mereka didakwa mengendalikan server untuk memuat naik telefon bimbit Android dengan aplikasi yang membolehkan mereka mengawal telefon tersebut.

Secara berasingan, satu lagi operasi peringkat sejagat oleh Interpol telah menumpaskan lebih 22,000 alamat IP atau server yang dikaitkan dengan ancaman siber.

Operasi yang dijalankan dari April hingga Ogos menyasarkan penjenayah yang terlibat dalam penipuan pancingan data dan ancaman perisian, yang membawa kepada penahanan 41 individu, manakala 65 lagi sedang disiasat.

Daripada kira-kira 30,000 alamat IP mencurigakan yang dikenal pasti, 76 peratus ditumpaskan dan 59 server telah dirampas.

Pengarah Direktorat Jenayah Siber Interpol, Encik Neal Jetton, berkata jenayah siber sejagat memerlukan tindak balas antarabangsa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg