Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong menghadiri upacara penghormatan mendiang adiknya, Dr Lee Wei Ling, pada 10 Oktober, sehari selepas kematiannya pada usia 69 tahun.
Beliau tiba di Singapore Casket di Lavender Street sekitar 8.25 malam bersama isterinya, Cik Ho Ching.
Mendiang Dr Lee, seorang pakar saraf dan satu-satunya anak perempuan Perdana Menteri Pengasas Encik Lee Kuan Yew, meninggal dunia di rumah pada 9 Oktober, empat tahun selepas disahkan menghidap penyakit otak degeneratif yang jarang berlaku dipanggil ‘progressive supranuclear palsy’.
Upacara penghormatan beliau bermula dari 2 petang pada 10 Oktober.
Menurut akhbar The Straits Times (ST), upacara itu turut dihadiri Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, serta beberapa Anggota Parlimen (AP) termasuk Cik Denise Phua, Encik Christopher de Souza.
Orang awam serta sebilangan tokoh politik, seperti Profesor Paul Tambyah dan mantan AP Dr Lily Neo turut kelihatan di upacara penghormatan itu, yang akan berlangsung sehingga 12 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg