Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Trafik mula penguatkuasaan terhadap kenderaan berat tanpa alat pengehad laju

Jan 18, 2026 | 2:39 PM
Seorang anggota Pasukan Operasi Khas Polis Trafik (TP) sedang memeriksa sama ada sebuah lori dilengkapi peranti pengehad kelajuan semasa operasi penguatkuasaan di Hougang pada 16 Januari.
Seorang anggota Pasukan Operasi Khas Polis Trafik (TP) sedang memeriksa sama ada sebuah lori dilengkapi peranti pengehad kelajuan semasa operasi penguatkuasaan di Hougang pada 16 Januari. - Foto ST

Dua anggota Pasukan Operasi Khas Polis Trafik (TP) menunggu di satu lokasi pada 5.30 pagi, 16 Januari, sementara para pekerja memunggah barangan daripada sebuah lori.

Setelah lori putih itu beredar dari satu tempat letak kereta di Hougang, kedua-dua anggota berkenaan yang menunggang motosikal – dengan lampu amaran dihidupkan – mempercepatkan kenderaan dan memberi isyarat kepada pemandu lori untuk mengikut mereka ke tempat letak kereta berhampiran.

Misi para pegawai itu ialah untuk memeriksa sama ada lori tersebut dilengkapi dengan peranti pengehad kelajuan.

Pemandu lori yang sedang membuat penghantaran minuman dalam tin dan makanan kering itu menyerahkan dokumennya kepada anggota polis.

Kenderaan itu didapati mempunyai pengehad kelajuan dan dibenarkan beredar oleh TP sekitar 20 minit kemudian.

Seorang anggota Pasukan Operasi Khas Polis Trafik (TP) sedang memeriksa label peranti pengehad kelajuan pada sebuah lori semasa operasi penguatkuasaan di Hougang pada 16 Januari.
Seorang anggota Pasukan Operasi Khas Polis Trafik (TP) sedang memeriksa label peranti pengehad kelajuan pada sebuah lori semasa operasi penguatkuasaan di Hougang pada 16 Januari. - Foto ST

Pemeriksaan serupa turut dijalankan ke atas kenderaan berat lain di lokasi berbeza.

Langkah penguatkuasaan ketat ini dilakukan selepas polis berkata pada 9 Januari bahawa seramai 141 pemilik lori gagal memasang pengehad kelajuan menjelang tarikh akhir 1 Januari yang ditetapkan bagi kumpulan itu.

Jumlah itu hampir 6 peratus daripada keseluruhan 2,434 lori dalam kumpulan berkenaan.

Pada 17 Januari, TP memaklumkan bahawa tiga lori didapati tidak mematuhi peraturan tersebut semasa operasi penguatkuasaan pada 16 dan 17 Januari.

TP menambah bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pemilik lori berkenaan.

Timbalan Pegawai Komand yang mengetuai unit rondaan TP, Superintendan Lee Jin, berkata pihaknya telah beberapa kali menghantar peringatan kepada pemilik lori untuk memasang peranti tersebut.

“Operasi penguatkuasaan sedang dijalankan untuk menjejak lori-lori ini. Kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pemilik lori yang gagal memasang pengehad kelajuan menjelang tarikh akhir wajib mereka,” tambah Superintendan Lee.

Pengehad kelajuan, yang menelan kos sekitar $900, adalah peranti yang mengehadkan enjin kenderaan kepada kelajuan maksimum 60 kilometer sejam (kmh).

Syarikat yang mempunyai kenderaan berat dengan berat muatan maksimum (MLW) antara 3,501 kilogram dengan 12,000 kilogram telah mula memasang peranti tersebut pada kenderaan mereka sejak Januari 2024.

Mereka diberikan tempoh dua hingga tiga tahun untuk memasangnya.

Sekitar 17,000 lori yang layak dikehendaki memasang pengehad kelajuan menjelang Julai 2027.

Kumpulan pertama kenderaan berat dengan MLW antara 5,001 kilogram dengan 12,000 kilogram dan didaftarkan sebelum 1 Januari 2018, dikehendaki memasang peranti tersebut menjelang 1 Januari 2026.

Dalam fasa seterusnya, lori yang didaftarkan sebelum 2018 dengan MLW antara 3,501 kilogram dengan 5,000 kilogram dikehendaki memasang pengehad kelajuan menjelang 1 Julai 2026.

Pemilik kenderaan digalakkan untuk memasang peranti tersebut sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.

Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, pada 12 Januari telah mengusulkan beberapa perubahan di bawah Rang Undang-Undang Pengangkutan Darat dan Perkara Berkaitan Lain di Parlimen, termasuk hukuman lebih tegas terhadap mereka yang gagal memasang pengehad kelajuan.

Pada masa ini, pemilik lori yang gagal memasang pengehad kelajuan boleh didenda sehingga $1,000 bagi kesalahan pertama dan sehingga $2,000 bagi kesalahan berulang.

Jika rang undang-undang itu diluluskan, denda maksimum bagi kesalahan tersebut akan meningkat kepada $10,000 bagi kesalahan pertama dan $20,000 bagi kesalahan kedua – iaitu 10 kali ganda daripada hukuman semasa.

Perubahan ini akan dibahaskan di Parlimen pada Februari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg