Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 naik pangkat, 9 pemegang jawatan politik baru

May 21, 2025 | 8:27 PM
Cik Sun Xueling.
Cik Sun Xueling. - Foto ST

Empat pemegang jawatan politik semasa dinaikkan pangkat, sementara sembilan yang lain akan dilantik sebagai pemegang jawatan politik baru dalam barisan Kabinet terkini yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 21 Mei.

Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Encik Murali Pillai dan Cik Sun Xueling, akan dinaikkan pangkat kepada Menteri Negara Kanan.

Encik Baey Yam Keng pula akan dinaikkan pangkat kepada Menteri Negara. Beliau juga akan menggalas peranan sebagai Mayor Daerah North East.

Pada masa ini, Dr Faishal ialah Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara); Encik Murali ialah Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Undang-undang); dan Cik Sun ialah Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri).

Dengan kenaikan pangkat itu, Dr Faishal akan menjadi Menteri Negara Kanan di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), selain dilantik sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Encik Murali pula akan menyandang jawatan Menteri Negara Kanan (Undang-Undang merangkap Pengangkutan), manakala Cik Sun pula Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Pengangkutan).

Sementara itu, Encik Baey, yang kini Setiausaha Parlimen Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), akan menjadi Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan).

Perubahan Kabinet baru akan berkuat kuasa mulai 23 Mei, melainkan dinyatakan untuk beberapa individu.

Dalam sembilan pemegang jawatan politik baru yang dilantik itu, tujuh daripada mereka ialah Anggota Parlimen (AP) yang baru dipilih.

Mereka termasuk dua AP baru dan mantan penjawat awam, Encik David Neo dan Encik Jeffrey Siow, yang telah diberi pelantikan paling kanan dalam kalangan wajah baru.

Mantan Panglima Tentera Darat, Encik Neo, dilantik sebagai Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, dan juga Menteri Negara Kanan di Kementerian Pendidikan.

Mantan Setiausaha Tetap Kedua (Tenaga Manusia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Siow, pula dilantik Pemangku Menteri Pengangkutan, serta Menteri Negara Kanan di Kementerian Kewangan.

AP tiga penggal, Encik Desmond Choo, akan menjadi Menteri Negara bagi Pertahanan, manakala AP dua penggal, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim akan menjadi Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai 1 Februari 2026.

Mantan ketua Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Encik Dinesh Vasu Dash, dilantik Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia).

Beliau juga akan memegang peranan Mayor bagi Daerah South East, yang sebelum ini dipegang oleh Encik Fahmi Aliman, yang tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025.

Mantan Timbalan Setiausaha di Kementerian Kesihatan, Cik Jasmin Lau, pula akan menjadi Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan).

Mantan Ketua Turus, Staf bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Encik Goh Pei Ming, dilantik Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga).

Sementara itu, mantan Pengarah di Kementerian Pembangunan Digital dan Penerangan (MDDI), Cik Goh Hanyan, dilantik Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran).

Pakar psikiatri dan satu-satunya pemegang jawatan politik baru dari sektor privet, Dr Syed Harun Alhabsyi, akan memegang peranan sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara) dan akan memulakan tugasnya mulai 1 Oktober 2025.

Pengumuman barisan Kabinet baru itu akan menyaksikan pemegang jawatan politik baru dalam semua kementerian.

Encik Wong berkata: “Saya melakukan ini untuk memberi pemimpin muda lebih banyak pengalaman dan pendedahan merentasi bidang pemerintah yang berbeza untuk mempersiapkan mereka bagi tanggungjawab lebih besar pada masa depan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg