Mantan penjawat awam tertinggi, Encik David Neo dan Encik Jeffrey Siow, telah dilantik pemangku menteri dalam rombakan Kabinet yang diumumkan pada 21 Mei.
Encik Neo, 47 tahun, yang merupakan mantan Panglima Tentera Darat, telah dilantik Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.
Beliau juga akan dilantik Menteri Negara Kanan (Pendidikan).
Sementara itu, Encik Siow, 46 tahun, mantan Setiausaha Tetap Kedua (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Tenaga Manusia), telah dilantik sebagai Pemangku Menteri Pengangkutan serta Menteri Negara Kanan (Kewangan).
Encik Siow juga pernah menjadi Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, antara 2017 dengan 2021.
Dalam sidang media pada 21 Mei, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, berkata beliau akan melantik sembilan pemegang jawatan politik baru, yang terdiri daripada tujuh Anggota Parlimen (AP) baru dan dua yang dinaikkan pangkat.
Dua AP yang dinaikkan pangkat itu ialah Encik Desmond Choo, 47 tahun dan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, 44 tahun.
“Itu (jumlah tersebut) antara yang tertinggi dalam sejarah baru-baru ini dan ia adalah kerana kepentingan pembaharuan kepimpinan,” kata Encik Wong.
Menyentuh tentang pengalaman Encik Neo, Encik Wong berkata:
“David mempunyai pengalaman sebelum ini, menerajui Pejabat Generasi Warga Emas (SGO), jadi beliau tahu apakah yang diperlukan untuk membina ikatan masyarakat yang kukuh.”
Tentang pengalaman Encik Siow pula, Encik Wong berkata: “Beliau sudah biasa dengan dasar pengangkutan darat daripada pengalaman lalu sebagai penjawat awam.
“Sudah tentu, banyak lagi yang perlu dilakukan sebagai menteri, di mana beliau akan diuji, tetapi saya yakin beliau akan dapat membuktikan kebolehannya.”
Tiga AP baru – Encik Dinesh Vasu Dash, 50 tahun; Cik Jasmin Lau, 42 tahun; dan Encik Goh Pei Ming, 43 tahun – akan menjadi Menteri Negara (MOS).
Mereka, bersama-sama Encik Siow dan Encik Neo, akan mengangkat sumpah jawatan masing-masing pada 23 Mei.
Dua lagi AP akan dilantik sebagai Setiausaha Kanan Parlimen.
Mereka ialah Dr Syed Harun Alhabsyi, 40 tahun, dan Cik Goh Hanyan, 39 tahun.
Mereka akan mengangkat sumpah lebih lewat, dengan Dr Syed Harun mula memegang jawatannya dari 1 Oktober.
Encik Dinesh, mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), akan menyertai Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Beliau juga akan dilantik sebagai Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, menggantikan Encik Mohd Fahmi Aliman.
Cik Lau, mantan Timbalan Setiausaha, akan menyertai Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) serta Kementerian Pendidikan (MOE).
Mantan Ketua Turus (Staf Angkatan Bersenjata Singapura), Encik Goh Pei Ming, akan menjadi MOS di Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Cik Goh pula, mantan Pengarah di MDDI, akan dilantik untuk berkhidmat di dua kementerian, iaitu di MCCY dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).
Dalam pada itu, Dr Syed Harun, akan menyertai MOE dan Kementerian Pembangunan Negara (MND).
Ketujuh-tujuh AP itu merupakan AP baru dilantik pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) yang dijalankan pada 3 Mei.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg