Sebanyak lapan parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) berpeluang menyampaikan mesej kempen pilihan raya masing-masing, melalui siaran televisyen dan radio percuma pada 25 April dan 1 Mei.
Dua siaran politik parti (PPB) bagi setiap parti – sekali di televisyen dan sekali di radio – akan disiarkan melalui enam saluran televisyen Mediacorp dan 13 stesen radio Mediacorp, SPH Media dan So Drama! Entertainment, menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) pada 24 April.
Parti politik boleh memilih untuk berucap dalam mana-mana atau kesemua empat bahasa rasmi: Inggeris, Mandarin, Melayu dan Tamil, lapor The Straits Times.
Hanya lapan parti politik layak mengadakan PPB, tambah IMDA.
Di bawah garis panduan yang ditetapkan Jabatan Pilihan Raya (ELD), hanya parti politik yang mempunyai sekurang-kurangnya enam calon di bawah lambang parti yang diiktiraf, layak menyertai PPB.
Calon bebas dan parti politik yang mempunyai kurang daripada enam calon tidak layak mengadakan siaran tersebut.
Kesemuanya, terdapat 11 parti politik dan dua calon bebas yang akan bertanding bagi 92 daripada 97 kerusi parlimen pada 3 Mei.
Pasukan lima anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Marine Parade-Braddell Heights, menang tanpa bertanding, selepas proses penamaan calon ditutup pada 23 April.
Menurut IMDA, tempoh masa siaran bagi setiap parti politik ditetapkan berdasarkan bilangan calon yang ditampilkan.
Tempoh masa siaran yang diberikan bagi dua siaran setiap parti politik, adalah sama.
Urutan siaran di televisyen dan radio ditetapkan berdasarkan bilangan calon yang dikemukakan parti, bermula dengan parti yang mempunyai bilangan calon paling sedikit dan berakhir dengan parti yang mempunyai bilangan calon paling ramai.
Parti Perpaduan Nasional (NSP), Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan Parti Demokratik Singapura (SDP), masing-masing diperuntukkan masa siaran selama empat minit, bagi setiap bahasa pada setiap siaran, kata IMDA.
Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), Parti Kemajuan Singapura (PSP) dan Titik Merah Bersatu (RDU), masing-masing diperuntukkan masa siaran lima minit, manakala Parti Pekerja (WP) diberikan masa siaran enam minit, bagi setiap bahasa pada setiap siaran.
PAP pula diperuntukkan masa siaran 14 minit bagi setiap bahasa pada setiap siaran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg