Dalam tempoh sekitar empat tahun, Profesor Madya Dr Elmie Nekmat, aktif di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sengkang, beliau telah dikenali dalam kalangan ramai penduduk sebagai bapa empat anak perempuan.
Berkongsi demikian di sidang media Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada 13 April bagi memperkenalkan barisan bakal calon bagi GRC Sengkang, Dr Elmie berkata beliau telah menemui banyak keluarga yang menghadapi perjuangan berterusan berkaitan keperluan menjaga ibu bapa yang menua dan kanak-kanak yang membesar.
“Seperti banyak keluarga di Sengkang, saya juga mengalami dan memahami tekanan yang meningkat berkaitan masa dan kos yang diperlukan untuk menjaga kesihatan ibu bapa kita dan membesarkan anak-anak kita dalam cara yang terbaik mungkin.
“Lebih banyak boleh dilakukan untuk membantu meringankan tekanan masa dan kos ini dan saya mahu membantu membuat perubahan positif ini berlaku kepada keluarga Sengkang,” kata Dr Elmie, 43 tahun.
Beliau, yang mengajar bidang komunikasi dan media baru di Universiti Nasional Singapura (NUS), juga mahu menjadi suara belia Sengkang di Parlimen bagi memastikan keperluan, keprihatinan dan aspirasi mereka didengari.
Jika dipilih, Dr Elmie, yang antara lain berkhidmat dalam Majlis Celik Media di bawah Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), mahu mendorong dasar lebih kuat dan menggalakkan lebih banyak program di Sengkang,
Ini khusus untuk membantu mewujudkan sekitaran digital yang lebih selamat bagi golongan muda dan warga emas di dalam talian.
Bercakap dalam bahasa Melayu, Dr Elmie, berkata beliau berasal daripada keluarga penjaja makanan – cucu kepada penjual sate dan anak kepada pengendali gerai kantin di sekolah.
Beliau mahu berusaha membantu bangsanya terutama sekali di tengah-tengah pembangunan amat pesat dan peralihan landskap teknologi digital.
Menurut Dr Elmie, berbanding dengan mantan Setiausaha Parlimen Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan), Encik Amrin Amin, yang dimasukkan ke dalam pasukan GRC Sengkang sekitar enam bulan sebelum Pilihan Raya Umum (GE) 2020, beliau pula berpengalaman beberapa tahun untuk mengenali penduduk di sana.
“Saya juga ada masa untuk lebih tahu tentang kehendak penduduk Sengkang yang ada khususnya seperti ramai penduduk yang saya temui mahukan makanan halal.
“Memandangkan saya ada masa, saya dapat mendalami dan lebih memahami apakah makanan halal yang dikehendaki.
“Nanti kami akan kongsikan dalam manifesto kami tentang program dan rancangan kami,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg