Encik Abdullah Tarmugi merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam kedua Singapura, mengambil alih daripada Dr Ahmad Mattar.
Beliau memegang jawatan tersebut dari 1993 hingga 2002.
Kerjaya politiknya bermula pada 1984 sebagai Anggota Parlimen (AP) bagi SMC Siglap.
Beliau kemudian menjadi AP bagi GRC Bedok dari 1991 hingga 1996 sebelum menjadi AP GRC East Coast dari 1996 hingga 2001.
Encik Abdullah merupakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Sukan dari 1996 hingga 2002 dan merupakan Speaker Parlimen dari 2002 hingga 2011.
Dalam satu wawancara pada 2019, Encik Abdullah akur antara cabaran besar yang dihadapi dalam kerjaya politiknya selama 27 tahun ialah sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.
“Bukan mudah untuk menangani isu masyarakat Islam dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Di satu pihak, saya terpaksa menguruskan harapan keagamaan masyarakat Islam yang kadangkala terpaksa disesuaikan dengan realiti atau keperluan masyarakat yang sebahagian besarnya bukan Islam,” katanya ketika itu.
Beliau juga perlu menangani beberapa isu hangat ketika itu seperti pengurangan tempat Darjah 1 di madrasah-madrasah di sini, serta sekatan pemakaian tudung di tempat kerja bagi sesetengah kerjaya yang memerlukan kakitangan mereka berpakaian seragam.
Encik Abdullah bersara daripada politik pada Mac 2011, sebelum Pilihan Raya Umum tahun itu.
Pada Januari 2012, beliau dilantik ke Majlis Presiden bagi Hak-Hak Kaum Minoriti oleh Presiden Singapura ketika itu, Dr Tony Tan, dan kemudian sebagai ahli tetap oleh Presiden Halimah Yacob.
Pada November 2024, Encik Abdullah telah dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pengelola (BOG) Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) dan akan memimpin lembaga itu untuk meneliti perihal gaji, kos, yuran dan urusan pentadbiran lain yang diperlukan dalam mengendalikan sebuah kolej.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg