Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Yaacob tabur jasa di peringkat negara, masyarakat

May 22, 2025 | 6:53 PM
Dr Yaacob Ibrahim merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam ketiga dari 2002 hingga 2018.
Dr Yaacob Ibrahim merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam ketiga dari 2002 hingga 2018. - Foto fail

Dr Yaacob Ibrahim merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam ketiga di Singapura -– iaitu dari 2002 hingga 2018 – selepas Dr Ahmad Mattar dan Encik Abdullah Tarmugi.

Sepanjang 21 tahun sejak beliau menyertai politik pada 1997, Dr Yaacob telah banyak menabur jasa di peringkat negara dan masyarakat.

Ini termasuk mendorong pembangunan prasarana telekomunikasi dan media, serta menggalak masyarakat Melayu/Islam untuk berdaya maju menerusi wawasan Masyarakat Cemerlang.

Sumbangan Dr Yaacob meliputi pelbagai bidang daripada memperkukuh bekalan air Singapura dan memperkasa keluarga hingga memperjuangkan sukan dalam tugasnya sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Sukan, Menteri Sekitaran dan Sumber Air, dan kemudian sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan.

Di bawah kepimpinan beliau juga, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengusahakan projek yang menyerlahkan Identiti Muslim Singapura, penubuhan Akademi Muis, pengukuhan madrasah, serta penubuhan Kolej Islam di Singapura.

Selain itu, Dr Yaacob juga melancarkan usaha mempertingkat masjid lama, serta memantau peruntukan kuota haji kepada jemaah Singapura dan bekalan bagi ibadah korban setiap tahun.

Beliau juga terlibat dalam penubuhan Forum Pemimpin Masyarakat (CLF), dan sebagai Pengerusi Yayasan Mendaki, telah memainkan peranan dalam penubuhan Dana Amanah Pendidikan Mendaki, peluasan kriteria kelayakan gaji bagi Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi (TTFS) dan penubuhan Mendaki Sense.

Dr Yaacob juga telah memberi nasihat penting mengenai pelbagai isu sensitif berkaitan kaum dan agama, termasuk dalam isu Akta Pemindahan Organ Manusia (Hota), resort bersepadu dan Pilihan Raya Presiden diperuntuk.

Beliau berundur dari Kabinet pada April 2018 dan bersara dari politik pada 2020, mengakhiri kerjaya politiknya setelah berkhidmat selama 23 tahun.

Kini, beliau merupakan profesor di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Beliau juga merupakan Penasihat kepada Pejabat Presiden Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Pengarah pengasas Pusat Kepimpinan Masyarakat dan Inovasi Sosial (CLASIC) di SIT.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg