Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ng Ling Ling belum pasti tanding di SMC Jalan Kayu

AP penggal pertama akur ‘banyak belajar dari pengalaman’ khidmat pada masyarakat
Mar 24, 2025 | 12:49 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tengah), dan Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Ng Ling Ling (kanan), di Karnival Penduduk Seletar Hills yang diadakan di Taman Jalan Selaseh pada 23 Mac.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tengah), dan Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Ng Ling Ling (kanan), di Karnival Penduduk Seletar Hills yang diadakan di Taman Jalan Selaseh pada 23 Mac. - Foto ST

Anggota Parlimen (AP) GRC Ang Mo Kio, Cik Ng Ling Ling, belum dapat memastikan sama ada beliau akan bertanding di SMC Jalan Kayu yang baru dibentuk bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Ketika ditanya pada 23 Mac sama ada beliau akan bertanding di SMC itu, Cik Ng berkata beliau akan menunggu keputusan pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP), termasuk Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.

“Kami percaya kepada pemimpin kami. Saya rasa pasukan terbaik harus bertanding dalam pilihan raya,” kata AP berusia 53 tahun itu.

“Bagi saya, saya hanya mahu penduduk gembira.”

Cik Ng ditemui di karnival penduduk di Seletar Hills – sebahagian kawasan di dalam GRC Ang Mo Kio, lapor The Straits Times (ST).

Karnival itu, yang dihadiri sekitar 900 penduduk, turut disertai dua AP Ang Mo Kio lain – Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dan Cik Nadia Samdin.

SMC Jalan Kayu yang baru dibentuk akan mengambil sebahagian kawasan GRC Ang Mo Kio – iaitu kawasan Jalan Kayu di bawah jagaan Cik Ng, serta sebahagian daripada kawasan Fernvale di bawah jagaan Encik Gan Thiam Poh.

Semasa acara itu, Cik Ng turut ditanya sama ada beliau berharap agar dapat terus berkhidmat kepada penduduk di kawasannya.

Beliau menjawab, hasratnya adalah untuk menyokong semua rakyat Singapura.

“Sebagai individu, saya sedar had dan keupayaan saya,” kata Cik Ng. 

“Sebagai AP, peranan ini sangat mencabar. Saya bekerja tujuh hari seminggu.

“Kebanyakan malam dan hujung minggu diisi dengan mesyuarat kawasan undi dan berkhidmat kepada penduduk.”

Cik Ng, seorang AP penggal pertama yang sebelum ini merupakan pengarah urusan Dana Masyarakat, berkata beliau rindu berkhidmat di platform nasional seperti Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS).

Namun, beliau juga telah banyak belajar daripada pengalamannya sebagai AP, katanya.

Apabila ditanya bagaimana beliau menguruskan tuntutan tugas dan tekanan yang datang bersamanya, beliau tertawa dan berkata: “Tidak begitu baik.”

Beliau menambah: “Jika anda tanya mana-mana AP kami... kami semua berusaha dengan gigih, namun tidak selalunya berjaya.”

“Saya berharap dapat mengurus diri dengan lebih baik,” kata Cik Ng sambil menambah bahawa beliau sentiasa terfikir tentang perkara yang perlu atau belum dilakukan – seperti menghantar rayuan penduduk, menyiapkan soalan serta ucapan Parlimen dan sebagainya.

“Bila anda bergerak pada kelajuan sebegitu, penjagaan diri menjadi keutamaan terakhir.”

Cik Ng berkata beliau akan sentiasa menjadi pemimpin masyarakat bagi mereka yang mengizinkannya.

“Saya akan sentiasa ada untuk membantu mana-mana yang saya boleh, mengikut kemampuan saya.”

Cik Nadia, yang merupakan AP bagi kawasan Cheng San-Seletar, berkata beliau dan Cik Ng telah berusaha untuk memperbaiki kesalinghubungan kawasan Seletar serta kemudahan untuk warga emas.

Beliau turut menekankan semangat kemasyarakatan yang kuat GRC itu.

Encik Lee, yang berucap di acara tersebut, berkata rakyat Singapura perlu bersyukur, terutamanya dengan ketegangan global dan ketidaktentuan ekonomi yang menyebabkan beberapa negara terpaksa mengurangkan sokongan untuk rakyat mereka.

Beliau menambah bahawa rakyat Singapura beruntung kerana Belanjawan 2025 menawarkan potongan cukai, geran dan baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) untuk meringankan kos sara hidup.

Walaupun tidak lagi menggalas tanggungjawab sebagai Perdana Menteri, beliau akan terus menyokong Encik Wong dan membantunya mencapai kejayaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg