Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Alex Yam: Pemerintah sambut baik pandangan alternatif tetapi harus berlandas realiti

Apr 25, 2025 | 5:55 PM
Alex Yam, GRC Marsiling-Yew Tee, PAP
Dalam beramah mesra dengan penduduk pada hari ketiga kempen GE2025 di Yew Tee Square berdekatan stesen MRT Yew Tee pada 25 April, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam (dua dari kanan), berkongsi matlamat utama pasukannya untuk memahami keprihatinan penduduk tentang kos sara hidup. - Foto ST

Pemerintah mengalu-alukan pandangan alternatif mengenai dasar setempat, tetapi menegaskan bahawa cadangan-cadangan itu mesti realistik dan disokong oleh perancangan yang kukuh, kata Mayor Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam, pada 25 April.

Beliau berkata demikian selepas sesi menemui penduduk yang dikendalikan bersama Perdana Menteri dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Lawrence Wong, di Yew Tee Square.

Encik Yam yang merupakan sebahagian pasukan PAP di GRC Marsiling-Yew Tee yang dipimpin Encik Wong, menjelaskan walaupun PAP terbuka kepada pandangan yang berbeza dan bersedia untuk menerimanya, pandangan tersebut juga mesti berlandaskan realiti.

“Baik jika terdapat pandangan alternatif, dan pemerintah sentiasa bersedia untuk mendengar pandangan lain serta mempertimbangkannya, tetapi pandangan tersebut mesti berlandaskan keadaan sebenar.

“Ia bukan semata-mata kenyataan politik, untuk meraih undi yang akhirnya boleh merugikan negara dalam jangka masa panjang,” ujar beliau.

Kenyataan Encik Yam adalah sebagai mengulas seruan parti pembangkang pada sesi rapat mereka pada 24 April, yang antaranya, melibatkan isu membatalkan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Dua calon lain bagi GRC Marsiling-Yew Tee iaitu, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad dan Cik Hany Soh, bagaimanapun, tidak hadir semasa sesi menemui penduduk berkenaan.

Mereka merupakan antara pasukan PAP yang akan bertanding dengan pasukan Parti Demokratik Singapura (SDP) untuk Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Mereka dianggotai pengasas laman web berita alternatif Wake Up Singapore (WUSG), Encik Ariffin Iskandar Sha Ali Akbar; setiausaha penganjur SDP, Encik Jufri Salim; mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gulf Oil China, Cik Gigene Wong; dan pengarah teater, Encik Alec Tok.

SDP juga akan bertanding di GRC Sembawang dan SMC Sembawang West, yang dikatakan sebagai sebahagian “strategi kawasan utara” mereka.

Berkaitan dengan pandangan alternatif parti pembangkang, Encik Yam menambah bahawa pihak pembangkang sering memberikan tuntutan atau cadangan, namun kurang menekankan soal pembiayaan dan kos jangka panjang yang diperlukan.

“Kita sering mendengar banyak permintaan atau tuntutan daripada pihak pembangkang, ‘Kami akan membatalkan ini, kami akan lakukan ini, kami akan mengecualikan ini’.

“Tetapi, kita kurang mendengar tentang bagaimana kita akan membiayai keperluan masa depan? Berapakah kos yang perlu ditanggung untuk pelbagai program yang sedang dijalankan? Apakah alternatifnya?” ujar beliau.

Ini merupakan kali kedua pasukan PAP dengan calon yang sama akan bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee, menentang pasukan SDP.

Pada GE2020, pasukan PAP yang sama telah memperolehi 63.18 peratus undi, mengalahkan pasukan SDP yang dianggotai Encik Damanhuri Abas, Encik Lim Boon Heng, Encik Khung Wai Yeen dan Encik Benjamin Pwee.

Apabila ditanya tentang margin kemenangan untuk GE kali ini, Encik Yam menjelaskan dalam sembilan hari berkempen ini, pasukannya akan berusaha meyakinkan sebanyak mungkin rakyat Singapura.

“Tidak kira margin, jika kita diberi peluang untuk menjadi pemerintah, kita mesti memastikan bahawa kita tunaikan janji-janji kita.

“Akhirnya... demokrasi bukan hanya tentang bertanding dalam pilihan raya. Ia lebih kepada menunaikan janji-janji kami dan berkhidmat kepada rakyat Singapura selepas keputusan diumumkan,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg