Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Amy Khor, tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) selepas lebih dua dekad berkhidmat kerana ‘sebab peribadi’.
Menjawab pertanyaan media semasa sidang media pada 14 April, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, mengumumkan persaraan Dr Khor, 67 tahun, sambil merakamkan penghargaan atas khidmat beliau selama bertahun-tahun lamanya.
Sidang media tersebut diadakan bagi mengumumkan senarai calon PAP bagi GRC Chua Chu Kang dan SMC Bukit Gombak.
Encik Gan turut menyampaikan penghargaan di atas sumbangan Dr Khor dalam menyatukan masyarakat di Hong Kah North, serta kawasan sekitarnya.
Beliau menambah, estet Tengah, yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada SMC Hong Kah North, kini digabungkan ke dalam GRC Chua Chu Kang bagi GE2025 akan datang.
Bahagian lain SMC tersebut telah digabungkan dengan GRC Jurong dan Bukit Batok serta SMC Yuhua untuk membentuk GRC Jurong East-Bukit Batok yang baru.
Dr Khor telah menjadi Anggota Parlimen (AP) Hong Kah North sejak penubuhannya pada 2011, bahkan memenangi kerusi itu dalam tiga pilihan raya.
Pada 2020, beliau memperoleh 60.98 peratus daripada 27,188 undi, menewaskan pencabarnya dari Parti Kemajuan Singapura (PSP), Cik Gigene Wong.
Sebagai Menteri Negara Kanan (Kementerian Kemampanan dan Sekitaran) sejak 2015, Dr Khor memperjuangkan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan sisa, khususnya sisa elektronik, pembungkusan dan makanan.
Beliau juga aktif memelihara dan mempromosikan budaya penjaja, antara isu lain.
Sejak 2020, Dr Khor berkhidmat sebagai Menteri Negara Kanan (Pengangkutan), dengan memberi tumpuan kepada peningkatan industri teksi dan kereta sewa swasta.
Beliau turut memperjuangkan penambahan rangkaian pengangkutan awam ke bandar baru Tengah, yang menjadi isu utama bagi penduduk awal di kawasan tersebut.
Dilatih dalam penilaian hartanah, Dr Khor memegang ijazah kedoktoran dalam bidang hartanah dari Universiti Reading di Britain.
Dalam catatan Facebook pada 14 April, Dr Khor meluahkan rasa syukur atas peluang berkhidmat di kawasan Hong Kah North selama 24 tahun sepanjang lima penggal.
Beliau bersedia dan gembira untuk memberi laluan kepada pembaharuan parti, dan berterima kasih kepada sukarelawan dan penduduk akar umbi.
Dr Khor berkata:
“Adalah satu penghormatan dan keistimewaan dapat melibatkan diri dan bekerjasama dengan penduduk (Hong Kah North) untuk memahami keperluan dan kebimbangan mereka serta membantu memperbaiki kehidupan dan persekitaran hidup mereka. Saya amat berterima kasih atas sokongan padu mereka selama ini.
“Dalam saya menutup lembaran yang sangat berharga dan penuh kenangan ini, saya menantikan bab seterusnya di mana saya akan terus mencari peluang untuk berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat dengan sebaik mungkin.”
“
“Dalam saya menutup lembaran yang sangat berharga dan penuh kenangan ini, saya menantikan bab seterusnya di mana saya akan terus mencari peluang untuk berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat dengan sebaik mungkin.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg