Rakyat Singapura mesti bersatu, bersikap inklusif dan bersedia untuk mengemudi dunia yang pesat berubah, kata Anggota Parlimen (AP) yang berucap di Parlimen pada 26 September.
Menggulung perbahasan lima hari susulan Amanat Presiden, Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Changi), menekankan perubahan asas dalam landskap geopolitik, ekonomi, teknologi dan demografi.
Beliau juga berkata keperluan transformasi amat mendesak dan sikap berdaya tahan, keupayaan menyesuaikan diri dan pembaharuan berterusan kekal penting bagi negara untuk terus maju dalam tempoh jangka panjang.
“Kesinambungan hidup kita bergantung pada keupayaan kita untuk kekal tangkas, lincah dan sentiasa bersedia untuk memperbaharui diri,” kata Encik Sharael.
“Mendakap transformasi berterusan ini bukan satu pilihan, malah ia adalah asas kesinambungan dan kemajuan Singapura,” tambah beliau.
Encik Sharael menggesa sikap inklusif dalam penggubalan dasar, menekankan bahawa Parlimen mesti mewakili semua segmen masyarakat, sama ada daripada golongan belia, pekerja, warga emas, individu kurang upaya, keluarga mahupun perniagaan.
Beliau menegaskan pertumbuhan ekonomi perlu diimbangi dengan sokongan sosial bagi memastikan tiada pihak yang ketinggalan.
Beliau turut menekankan prinsip “Kita Dahulu”, yang memerlukan kemajuan bersama, sikap saling membantu dan usaha masyarakat untuk mengukuhkan perpaduan sosial.
Encik Sharael berkata: “Kemajuan mesti dikongsi bersama dan Singapura paling kuat apabila kita berdiri bersama.”
Sementara itu, menyampaikan ucapan sulungnya di Parlimen, Cik Hazlina Abdul Halim (GRC East Coast), menekankan kepentingan perpaduan, sokongan keluarga dan pemerkasaan belia.
Beliau menyeru kerjasama menyeluruh antara pemerintah dengan masyarakat dalam usaha memperkukuh keluarga.
Memetik kes seorang bapa yang menghidap penyakit jantung dan tinggal bersama anak-anaknya, Cik Hazlina berkata:
“Saya berharap pemerintah dapat menyara keluarga yang mempunyai warga emas dengan lebih baik, terutama mereka yang juga mempunyai anak kecil.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan inisiatif peringkat nasional, bersama-sama dengan penyelarasan dengan agensi perkhidmatan sosial dalam membentuk pendekatan yang lebih tersusun untuk menjaga mereka yang tidak mempunyai orang lain,” kata Cik Hazlina.
Seramai 12 AP berucap pada hari terakhir perbahasan.
Mereka menekankan kepentingan menyokong semua lapisan masyarakat, sambil memastikan tiada warga yang ketinggalan meskipun dengan ekonomi yang tumbuh dengan pesat.
Keprihatinan yang kerap diutarakan AP termasuk daya tahan tenaga kerja dan pembangunan kemahiran pekerja.
AP menekankan kesan gangguan sejagat, perubahan teknologi dan automasi terhadap keselamatan pekerjaan – khususnya bagi graduan muda, karyawan pertengahan kerjaya dan pekerja berusia.
Cik Poh Li San (Sembawang West) mencadangkan program Latihan AI (kecerdasan buatan) untuk melatih golongan muda Singapura sebagai “ejen perubahan AI” yang boleh membantu syarikat mengautomasikan proses, meningkatkan kecekapan dan hasil.
Skim itu, tambahnya, akan dibiayai oleh pemerintah dan dijalankan bersama NTUC e2i dan Enterprise Singapore dengan tujuan mewujudkan kerjasama menyeluruh dan melengkapkan belia dengan kemahiran AI sambil meningkatkan daya saing syarikat kecil dan sederhana (SME).
Menyentuh tentang cabaran tenaga kerja Singapura, Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Encik Desmond Tan (GRC Pasir Ris-Changi) berkata Singapura sedang berdepan dua perubahan besar iaitu kecerdasan buatan dan penuaan individu.
“Jangan pilih antara pekerja lebih berusia dengan AI, pilih kedua-duanya,” kata Encik Tan, sambil menggesa pemerintah memberi akses adil kepada latihan dan peningkatan kemahiran supaya pekerja lebih berusia dapat berkembang dalam ekonomi AI.
Sementara itu, AP Parti Pekerja (WP) Cik Sylvia Lim (GRC Aljunied) menekankan kepentingan kepercayaan di Parlimen sebagai institusi utama dalam tadbir urus Singapura, sambil menyatakan bahawa walaupun pilihan raya bersifat kompetitif, tanggungjawab asas AP adalah terhadap warga.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua AP untuk mengutamakan kepentingan pengundi dan memupuk sikap hormat menghormati semasa berbahas meskipun berbeza pendapat.
“Kita harus sedar bahawa, sebagai AP, tugas utama kita bukan kepada parti, tetapi kepada rakyat Singapura.
“Tidak kira apa jua parti, kita mempunyai kewajipan untuk bersuara bagi pihak pengundi dan memastikan Dewan ini berfungsi untuk mereka.
“Ini bermakna menyoal pemerintah, dengan teliti jika perlu, untuk memastikan mereka bertanggungjawab,” kata Cik Lim.
Mengambil pengajaran daripada Parlimen Britain, Cik Lim berkongsi pengalamannya menghadiri sidang Parlimen di United Kingdom bulan lalu.
Di sana, seorang menteri kerajaan Parti Buruh menerangkan bagaimana polis Britain mengekalkan nilai demokrasi semasa mengawal bantahan berkaitan Gaza.
Selepas itu, seorang Menteri Bayangan daripada Parti Konservatif meminta jaminan tentang tindakan polis itu dan akan menerimanya jika penjelasan diberi.
Menurut Cik Lim, walaupun mereka pesaing politik, kedua-dua pihak masih tetap menghormati dan mempercayai satu sama lain dan berharap perkara sama dapat diamalkan di Parlimen Singapura.
Ucapannya itu mengundang respons daripada Encik Victor Lye (GRC Ang Mo Kio) yang bertanya sama ada beliau mempersoalkan keputusan pilihan raya umum dan jika beliau inginkan sistem politik yang berbeza.
Cik Lim menjelaskan bahawa beliau menghormati keputusan pilihan raya, dan menyuarakan harapan untuk sistem politik yang lebih baik meskipun tiada keperluan untuk mengubahnya secara keseluruhan.
Dalam responsnya, Encik Lye berkata: “Saya fikir kita hanya perlu memberi tumpuan kepada kesimpulan mengenai ucapan anda, bahawa kedua-dua pihak perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan kepercayaan antara kepimpinan kami, dan itu termasuk anda juga.”
Dalam hantaran di Facebook bagi menggulung perbahasan Amanat Presiden, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong berkata mentadbir Singapura adalah “amanah suci” dan mengalu-alukan AP baru yang berucap tentang isu yang dekat di hati mereka.
“AP mengemukakan banyak cadangan yang meliputi isu-isu yang penting kepada rakyat Singapura.
“Mari kita hadapi masa depan dengan penuh keyakinan dan bekerja keras untuk membina Singapura yang lebih baik, seperti yang telah kita lakukan bersama selama 60 tahun yang lalu,” kata Encik Lee.
“
“Kesinambungan hidup kita bergantung pada keupayaan kita untuk kekal tangkas, lincah dan sentiasa bersedia untuk memperbaharui diri.”“
“Saya berharap pemerintah dapat menyara keluarga yang mempunyai warga emas dengan lebih baik, terutama mereka yang juga mempunyai anak kecil.”“
“Kita harus sedar bahawa, sebagai AP, tugas utama kita bukan kepada parti, tetapi kepada rakyat Singapura. Tidak kira apa jua parti, kita mempunyai kewajipan untuk bersuara bagi pihak pengundi dan memastikan Dewan ini berfungsi untuk mereka.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg