Sesi Bertemu Penduduk (MPS) merupakan wadah penting untuk memahami lebih lanjut pengalaman hidup rakyat Singapura berkaitan dengan undang-undang dan dasar negara, kata Anggota Parlimen (AP) baru di GRC Aljunied, Encik Fadli Fawzi, daripada Parti Pekerja (WP).
Beliau berkongsi demikian tatkala mengenang kembali MPS pertamanya untuk Divisyen Kaki Bukit, yang diadakan pada 7 Mei lalu.
Dalam satu hantaran Facebook pada 8 Mei, Encik Fadli yang juga seorang peguam, berkata beliau rasa bangga dapat meneruskan legasi Ketua Menteri pertama Singapura, Encik David Marshall, yang memulakan amalan tersebut ketika bersama Parti Buruh.
“Sesi MPS merupakan platform penting untuk kami memahami dengan lebih mendalam pengalaman hidup rakyat Singapura biasa berkaitan dengan undang-undang dan dasar negara.
“Saya berasa bangga kerana kami meneruskan legasi Encik David Marshall yang memulakan amalan ini ketika beliau bersama Parti Buruh,” ujar beliau.
Encik Marshall yang meninggal dunia pada 12 Disember 1995, merupakan pengasas WP, yang ditubuhkan pada 3 November 1957, dengan perasmiannya berlangsung di Dewan Persatuan Hokkien di Telok Ayer Street 1.
Jawatankuasa eksekutif pengasas WP, ketika itu, terdiri daripada 20 anggota kesatuan sekerja dan 10 individu bukan dari kesatuan sekerja.
Prinsip parti ini sewaktu ditubuhkan adalah mencapai ‘merdeka’, demokrasi parlimen dan sosialisme.
Encik Marshall kemudian dilantik sebagai Ketua WP atau pengerusinya.
Dalam pada itu, ini merupakan sesi MPS Encik Fadli yang sulung sejak dipilih sebagai AP GRC Aljunied pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Pada pilihan raya tersebut, pasukan WP, pimpinan Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh, bersama Pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, Encik Gerald Giam, Encik Kenneth Tiong, dan Encik Fadli, menang dengan 59.68 peratus undi.
Pasukan itu mengalahkan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang terdiri daripada Cik Chan Hui Yuh, Dr Faisal Abdul Aziz, Encik Adrian Ang, Encik Daniel Liu, dan Encik Jagathishwaran Rajo.
Sebelum ini, Encik Fadli telah bertanding bersama WP di GRC Marine Parade pada GE2020.
Menurut hantaran Facebook itu, beliau pernah berkhidmat sebagai penulis kes di kawasan Eunos, tidak lama selepas pandemik Covid-19.
Sesi yang diadakan di cawangan WP kawasan Kaki Bukit menyaksikan kehadiran sekitar 30 penduduk, sebahagiannya merupakan mereka yang tertangguh kesnya kerana GE2025, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Encik Fadli mengambil kesempatan untuk meluahkan rasa terima kasih kepada pasukan sukarelawan yang berdedikasi dalam memastikan sesi itu berjalan lancar.
“Saya sangat berterima kasih kepada sukarelawan yang setia membantu saya beralih dalam menggalas peranan ini. Mereka melakukan kerja tanpa mengenal penat lelah dalam menyediakan tempat, menulis kes-kes awal dan melakar draf surat untuk penduduk yang mendapatkan bantuan.
“Mereka adalah wira yang tidak disanjung dalam memastikan kami dapat kembali memberikan khidmat kepada penduduk secepat mungkin,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg