Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AP Liang Eng Hwa ingin pertahan kerusi SMC Bukit Panjang

Apr 13, 2025 | 9:41 AM
Anggota Parlimen (AP) SMC Bukit Panjang, Encik Liang Eng Hwa, disahkan menghidap barah hidung tahap dua pada Julai 2023 namun selepas menjalani 33 sesi rawatan radioterapi, beliau disahkan bebas daripada barah dan kembali menjalankan tugas AP beliau pada pertengahan September 2023.
Anggota Parlimen (AP) SMC Bukit Panjang, Encik Liang Eng Hwa, disahkan menghidap barah hidung tahap dua pada Julai 2023 namun selepas menjalani 33 sesi rawatan radioterapi, beliau disahkan bebas daripada barah dan kembali menjalankan tugas AP beliau pada pertengahan September 2023. - Foto ST

Anggota Parlimen (AP) Bukit Panjang, Encik Liang Eng Hwa, berharap dapat terus mempertahan kerusinya di kawasan undi itu dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025 dan menjangkakan satu lagi pertembungan sengit dengan lawan sama seperti dalam pilihan raya lalu.

“Saya bersedia bertanding. Saya ingin terus berkhidmat dan saya harap dapat bertanding lagi di Bukit Panjang,” kata Encik Liang.

Encik Liang yang telah berkhidmat sebagai AP selama empat penggal itu sebelum ini berdepan dengan Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Profesor Paul Tambyah, dalam satu persaingan sengit pada 2020 dan berjaya memenangi 53.73 peratus undi.

SDP telah mengumumkan akan sekali lagi menampilkan Profesor Tambyah di Bukit Panjang – kawasan undi perseorangan (SMC) terbesar dengan 33,566 pengundi – dalam pilihan raya akan datang.

Dalam satu wawancara dengan The Straits Times pada 11 April, Encik Liang menyifatkan Profesor Tambyah sebagai “lawan yang hebat”.

“Beliau mahu kami anggap dirinya sebagai calon ‘underdog’, tetapi saya rasa itu tidak benar.

“Beliau mempunyai peluang yang baik, seperti saya, untuk memenangi kerusi SMC ini. Keputusannya boleh berpihak kepada sesiapa sahaja dan saya akan lakukan yang terbaik.

“Namun dengan rendah hati, saya percaya saya mampu melakukan tugas ini lebih baik daripada Profesor Tambyah. Saya amat mengenali kawasan Bukit Panjang ini, dan mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam melaksanakan projek besar dan kecil,” tambah beliau.

Encik Liang, 60 tahun, turut tidak membiarkan penyakit barah yang dihidapinya menghalang beliau daripada terus berkhidmat.

Beliau disahkan menghidap barah hidung tahap dua pada Julai 2023 namun selepas menjalani 33 sesi rawatan radioterapi, beliau disahkan bebas daripada barah dan kembali menjalankan tugas AP beliau pada pertengahan September 2023.

Beliau kini mengamalkan gaya hidup lebih sihat, seperti mengurangkan makanan diproses, lebih kerap bersenam dan menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tiga bulan.

Walaupun keluarganya pernah mempersoal keputusannya untuk terus berkhidmat sebagai AP, mereka turut memahami misi beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat.

“Selepas menjalani pelbagai pemeriksaan, doktor merasakan saya mampu meneruskan tugas seperti biasa.

“Ramai pesakit barah juga tidak berhenti melakukan perkara yang mereka gemari hanya kerana satu insiden.

“Saya tidak rasa (barah) menjejas diri saya saya. Gaya hidup saya berubah, tetapi matlamat hidup saya tetap sama,” ujarnya.

Encik Liang, seorang pengarah urusan di DBS Bank, menyertai dunia politik pada 2006.

Beliau sebelum ini menjaga kawasan undi Zhenghua di GRC Holland-Bukit Timah selama tiga penggal, sebelum berpindah ke SMC Bukit Panjang SMC pada 2020 selepas Dr Teo Ho Pin bersara.

Sepanjang 19 tahun dalam politik, Encik Liang sering membangkitkan isu nasional seperti meningkatkan daya tahan ekonomi Singapura dan mengembangkan syarikat tempatan.

Beliau juga mempengerusikan Jawatankuasa Parlimen Pemerintah (GPC) bagi Kewangan serta perdagangan dan perindustrian.

Antara keprihatinan utama beliau kini adalah bagaimana perang tarif antara Amerika Syarikat dan China boleh memperlahan pertumbuhan ekonomi serta menjejas kadar pengangguran dalam kalangan lulusan (universiti) di sini.

Beliau turut mencadangkan agar pemerintah mempertimbang untuk menghidupkan semula Program Pelatih SGUnited yang diperkenal semasa pandemik Covid-19 untuk menyokong syarikat memberi peluang kepada golongan yang mencari pekerjaan buat kali pertama.

Di peringkat tempatan, Encik Liang memberi perhatian khusus kepada kemudahan buat penduduk warga emas di Bukit Panjang.

Sejak 2020, tiga pusat penuaan aktif dan dua pusat jagaan warga emas baru telah dibuka di kawasan itu.

Beliau juga giat memperjuang peningkatan dari segi pengangkutan awam.

Apabila Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan pada 2020 bahawa dua perkhidmatan bas yang menghubungkan kawasan itu dengan pusat bandar akan dihentikan disebabkan berkurangan jumlah penumpang, Encik Liang bekerjasama dengan pihak relevan.

Hasilnya, khidmat bas 972M yang baru berjaya diperkenal untuk terus menghubungkan kawasan itu dengan pusat bandar.

“SMC Bukit Panjang bukan sekadar kawasan di mana saya berkhidmat, tetapi tempat tinggal bagi saya.

“Saya tidak akan tersilap nombor blok, saya tahu nak pergi mana dan saya tak akan keliru dengan sempadan (pilihan raya). Saya akan terus berkhidmat dengan sepenuh hati,” ujar Encik Liang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg