Parti pembangkang, Parti Demokratik Singapura (SDP), telah bertanding bagi merebut GRC Holland-Bukit Timah dalam tiga pilihan raya lalu, tetapi tidak pasti sama ada ia boleh menghimpunkan satu pasukan empat anggota untuk bertanding di kawasan undi itu bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) akan datang.
Pengerusi SDP, Profesor Paul Tambyah, ketika bercakap di luar satu dialog dengan penduduk Bukit Panjang pada 8 April di Kolam Pang Sua, berkata parti itu masih menimbang pilihannya.
Beliau berkata:
“Kami sedang meneroka semua kemungkinan dan menilai sama ada kami mempunyai calon-calon baik yang mencukupi dan sama ada kami akan dapat memberi penduduk GRC Holland-Bukit Timah satu pilihan yang baik, atau sama ada kami harus beralah kepada parti lain yang mungkin tertumpu pada kawasan atau daerah itu.”
SDP masih menemu duga calon-calon berpotensi dari dalam dan luar parti itu, tambahnya, lapor The Straits Times.
Profesor Tambyah, perunding kanan bagi penyakit berjangkit di Hospital Universiti Nasional (NUH), berkata:
“Terdapat beberapa orang yang sangat berkelayakan yang datang untuk bertemu kami. Kami mungkin tidak mengenali mereka dengan baik.
“Jadi kami perlu jalani temu duga untuk bersembang dengan ringkas bersama mereka.”
Beliau menambah bahawa SDP telah menerima panggilan daripada setiausaha agung dua parti politik lain yang berminat untuk bertanding bagi GRC Holland-Bukit Timah dan perbincangan masih diteruskan.
Beliau berkata: “Kami perlu cuba memahami siapa yang mereka akan kemukakan. Akhirnya, semua pihak mahukan yang terbaik untuk penduduk.”
Ketika ditanya mengapa SDP menumpukan tenaganya di Sembawang dan bukannya Holland-Bukit Timah kali ini, Profesor Tambyah berkata SDP telah mempunyai kehadiran di utara Singapura sejak 2006, ketika ia mula bertanding di kawasan undi itu.
Namun SDP kalah, dengan 23.3 peratus undi.
GRC Holland-Bukit Timah sering dipanggil ‘kawasan orang kaya’ kerana terdapat rumah berharga jutaan dolar serta kondominium mewah di kawasan itu.
Dalam setiap daripada tiga pertandingan pilihan raya yang lalu antara Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan SDP di kawasan undi itu, PAP muncul sebagai pemenang.
Pada 2020, PAP memenangi 66.36 peratus undi dan pada 2015, ia memenangi 66.6 peratus.
Pada 2011, PAP mendapat 60.08 peratus undi.
Profesor Tambyah pada Mac mengisytiharkan minatnya bertanding di SMC Bukit Panjang yang disandang oleh Encik Liang Eng Hwa, yang memasuki Parlimen pada pilihan raya 2006.
Profesor Tambyah berdepan dengan Encik Liang pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020) dalam pertandingan yang mendapat perhatian, yang dimenangi calon PAP itu dengan 53.74 peratus undi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg