Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beberapa penjawat politik muda cerminkan asas kepimpinan 5G

May 23, 2025 | 7:00 PM
Podcast BH, susulan Kabinet baru, politik S’pura
Mantan Setiausaha Tetap Kedua (Tenaga Manusia merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Jeffrey Siow (kiri), dilantik Pemangku Menteri Pengangkutan, serta Menteri Negara Kanan di Kementerian Kewangan. Mantan Panglima Tentera Darat, Encik David Neo, pula dilantik sebagai Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, dan juga Menteri Negara Kanan di Kementerian Pendidikan. - Foto fail

Dengan peralihan kepimpinan generasi keempat (4G) yang hampir selesai, beberapa pemegang jawatan politik baru mungkin menjadi asas kepada kepimpinan 5G, kata pengamat politik dalam podcast Berita Harian (BH), NoTapis BHerbual, baru-baru ini. 

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, melantik sembilan pemegang jawatan politik baru, yang mana tujuh daripadanya baru dipilih menyusuli Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) pada 3 Mei.

Antara yang dilantik ialah Encik David Neo dan Encik Jeffrey Siow, kededuanya menjadi Pemangku Menteri dan Menteri Negara Kanan.

Selebihnya diberikan pelbagai peranan sebagai Menteri Negara dan Setiausaha Kanan Parlimen.

Encik Desmond Lee juga telah diberi peranan penting sebagai Menteri Pendidikan.

Pengarah Urusan, Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas, berkata langkah tersebut menunjukkan kepercayaan Encik Wong kepada kebolehan, kecekapan dan kepimpinan Encik Neo berdasarkan prestasi sebelumnya sebagai mantan Panglima Tentera Darat.

“Namun dari segi politik, beliau harus dapat memahami dan mengetepikan pemikiran tentera... Beliau perlu meyakinkan rakyat untuk memahami dasar-dasar, serta belajar tentang hubungan awam dan perbualan sivil.

“Pelantikan Encik Neo selaku pemangku menteri di Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) adalah tempat untuk beliau belajar melibatkan diri dengan masyarakat,” kata Encik Ahmad Nizam.

Profesor Madya di Sekolah Sains Kemasyarakatan, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Walid Jumblatt Abdullah, berkata Kabinet baru Encik Wong menunjukkan beliau sedang memberi perhatian kepada barisan kepimpinan seterusnya.

“Kalau kita lihat Anggota Parlimen (AP) baru yang dilantik menjadi pemegang jawatan politik adalah berlainan namun cukup berkelayakan dan bertauliah, dan ia merupakan perkembangan yang wajar,” kata Dr Walid.

Encik Ahmad Nizam, yang berkongsi pandangan serupa, berkata:

“Apa yang boleh diperhatikan ialah bagaimana Encik Wong tidak membuat perancangan peralihan secara kebetulan. Sebaliknya, beliau mengambil rancangan itu dengan serius.”

Menurut Dr Walid, dengan memberikan garis masa selama satu atau dua tahun, kepada anggota Kabinet baru, Encik Wong memberi isyarat penting beliau sedang menilai kebolehupayaan menteri-menterinya.

“Garis masa selama satu atau dua tahun bukan sekadar masa untuk rakyat menilai menteri-menteri tetapi juga untuk Encik Wong melakukan perkara yang sama,” kongsinya.

Dalam pada itu, pelantikan Encik Desmond Lee sebagai Menteri Pendidikan, menggantikan Encik Chan Chun Sing, adalah menarik, menurut Dr Walid dan Encik Ahmad Nizam kerana ia mencerminkan kepentingan prestasi semasa GE2025.

“Jika kita lihat siapa yang berjaya dalam pilihan raya, kebanyakan daripada mereka telah dinaikkan pangkat.

“Ia satu pengiktirafan bahawa pilihan raya mempunyai kesan dan Encik Wong, selaku Perdana Menteri, juga memantau keputusan itu,” kata Dr Walid.

Encik Lee telah menerajui Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC West Coast-Jurong West yang menang selesa dengan meraih 60.01 peratus undi pada GE2025.

Encik Wong, semasa pengumuman Kabinet barunya pada 21 Mei, telah berkata:

“Ini adalah Kabinet saya pada permulaan penggal pemerintah baru ini, sedang kita memulakan fasa seterusnya.

“Pasukan ini lebih besar sedikit daripada apa yang kami ada sebelum ini kerana kami sedang dalam peralihan.

“Saya menjangkakan akan membuat pelarasan lanjut dalam masa satu atau dua tahun, apabila lebih ramai pemegang jawatan muda bersedia untuk melangkah ke hadapan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg