Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Aljunied terus giat mendekati seramai mungkin penduduk dengan masa kurang seminggu lagi sebelum rakyat Singapura keluar mengundi pada 3 Mei, kata calon Cik Chan Hui Yuh yang menambah pasukan itu berdepan dengan ‘gergasi’ iaitu Parti Pekerja (WP).
Cik Chan, 48 tahun, bersama rakan-rakan sepasukan di Aljunied, iaitu doktor gigi, Dr Faisal Abdul Aziz, 37 tahun; pengarah syarikat, Encik Adrian Ang, 42 tahun; ketua perunding perancangan bandar, Encik Daniel Liu, 40 tahun; dan aktivis kesatuan sekerja, Encik Jagathishwaran Rajo, 37 tahun, – turun padang mendekati penduduk di sekitar kawasan Blok 154 Serangoon North Avenue 1 pada pagi 27 April.
Ditanya media bagaimanakah pengalaman pasukannya mendekati penduduk di Aljunied sejauh ini sedang tempoh berkempen kini mencapai separuh jalan, Cik Chan berkata:
“Jika anda mengikuti jejak kempen kami, anda boleh temui kami semasa lawatan ke rumah, pasar, kedai kopi – seberapa banyak tempat yang kami boleh pergi untuk bertemu seramai mungkin penduduk yang kami boleh.
“Ini untuk memberitahu mereka, tolong beri kami peluang kerana kami berdepan dengan gergasi WP. Ia pertandingan yang mencabar dan kami berusaha memberikan yang terbaik,” kata beliau.
Pasukan PAP itu akan menghadapi saingan daripada pasukan WP yang diketuai setiausaha agung, Encik Pritam Singh, 48 tahun, di samping pengerusi WP, Cik Sylvia Lim, 60 tahun; Encik Gerald Giam, 47 tahun; muka baru, Encik Kenneth Tiong, 36 tahun; dan Encik Fadli Fawzi, 44 tahun, dalam pilihan raya umum 2025 (GE2025) ini.
WP memegang Aljunied sejak 2011 setelah menang kawasan undi itu dalam pilihan raya pada tahun tersebut – menjadikan ia GRC pertama dimenangi parti pembangkang sejak sistem GRC diperkenalkan pada 1988.
Dalam usaha menambat hati penduduk, Encik Ang berkongsi bahawa pasukannya “bukan sekadar tinggalkan risalah”, namun mendekati dan bercakap dengan penduduk untuk mendapatkan maklum balas tentang apa yang boleh diperbaiki dan dipertingkat di Aljunied.
“Terdapat banyak potensi bagi semua prasarana di sini. Kami di sini untuk memberi nafas baru kepada kawasan ini. Kami di sini untuk menyediakan persekitaran lebih baik dan lebih mampan untuk semua penduduk Aljunied,” kata beliau.
Encik Jaga menambah bahawa tumpuan pasukannya adalah pada penduduk dan manifesto mereka memberi tumpuan pada dasar dan rancangan untuk segenap lapisan masyarakat, termasuk warga emas, keluarga muda, wanita, karyawan dan belia.
Encik Liu pula berkata bahawa kempen pasukan PAP mendekati penduduk Aljunied sebenarnya telah berjalan lama sejak sebelum pilihan raya lagi, untuk mendengar isu-isu yang dihadapi penduduk.
Ditanya tentang mantan AP GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, yang kini berpindah untuk bertanding di Tampines, Dr Faisal berkata setiap parti politik mempunyai strategi dan taktik masing-masing dalam menempatkan calon di kawasan tertentu.
“(Namun) saya bersetuju dengan anggota parti pembangkang bahawa kita semua harus lihat pada semua AP biasa tanpa jawatan politik (backbenchers), siapakah PAP letakkan sebagai backbencher dan siapakah parti pembangkang letak sebagai backbencher.
“Dan kita lihat pada setiap individu, sebagai calon, dan bagaimana kita boleh menyumbang kepada masyarakat dalam cara terbaik,” kata beliau, merujuk kepada gesaan Encik Pritam kepada pengundi untuk membandingkan calon-calon WP dengan AP biasa yang tanpa jawatan politik PAP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg