Walaupun beliau dianggap wajah baru dalam pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bakal bertanding di GRC Aljunied dalam pilihan raya akan datang, Dr Faisal Abdul Aziz, 37 tahun, bukan wajah asing di sana.
Malah, beliau telah giat mendekati penduduk di kawasan Kaki Bukit – sebahagian daripada GRC Aljunied – sepanjang 10 tahun lalu.
Pada Februari, Dr Faisal dilantik sebagai pengerusi cawangan Kaki Bukit PAP, lantas mengambil alih jawatan pengerusi itu daripada Encik Shamsul Kamar Mohamed Razali, yang merupakan sebahagian daripada pasukan PAP di GRC Aljunied sejak 2015.
Dr Faisal berkata isu kos sara hidup merupakan hal utama yang menjadi keprihatinan penduduk, termasuk golongan Melayu di kawasan itu.
Beliau berharap dapat membantu mengurangkan beban yang dihadapi penduduk, dan menjadi wakil mereka di Parlimen.
Ditemui Berita Harian (BH), Dr Faisal berkata:
“Saya juga berharap dapat menjadi suara untuk melindungi budaya dan warisan masyarakat Melayu kita,” jelasnya yang pernah terlibat dalam penganjuran dialog dengan Biro Ehwal Melayu (MAB) PAP dan sayap mudanya, PAP Muda.
Bapa dua anak itu merupakan seorang pakar bedah pergigian dan mempunyai pengalaman luas dalam sistem penjagaan kesihatan awam di pelbagai institusi.
Tambahnya, isu penjagaan kesihatan di Singapura juga amat dekat dengan hatinya.
“Saya akan memperjuang program pemeriksaan kesihatan inovatif yang menggunakan kuasa teknologi dan memperluas peranan karyawan kesihatan bersekutu supaya dapat mempertingkat akses kepada penjagaan dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan secara keseluruhannya,” ujarnya yang kini pengarah klinikal Nuffied Holdings.
Sejauh ini, Dr Faisal telah menganjurkan beberapa acara di Kaki Bukit untuk menggalakkan gaya hidup sihat dan pencegahan penyakit, serta meningkat kesedaran tentang program SG Lebih Sihat.
Ditanya apa perasaannya bakal bertanding dalam kawasan yang dipegang pembangkang, Dr Faisal berkata:
“Saya telah berkhidmat sebagai seorang sukarelawan di Kaki Bukit selama 10 tahun. Jadi bagi saya, untuk bertanding dalam pilihan raya di GRC Aljunied adalah satu peralihan yang semula jadi.
“Saya teruja untuk menjalankan kempen yang sebaik mungkin bagi manfaat rakyat Singapura.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg