Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

RDU perkenal bakal calon GRC Jurong East-Bukit Batok, SMC Jurong Central

Dua calon Melayu diperkenal bantu bilangan besar masyarakat Melayu/Islam di GRC Jurong East-Bukit Batok
Apr 17, 2025 | 6:08 PM
Bakal calon Titik Merah Bersatu (RDU) bagi GRC Jurong East-Bukit Batok (dari kiri) Encik Harish Mohanadas, Encik Ben Puah, Cik Liyana Dhamirah, Encik Marcus Neo dan Encik Osman Sulaiman. Calon RDU bagi SMC Jurong Central ialah Cik Emily Woo (tiga dari kanan).
Bakal calon Titik Merah Bersatu (RDU) bagi GRC Jurong East-Bukit Batok (dari kiri) Encik Harish Mohanadas, Encik Ben Puah, Cik Liyana Dhamirah, Encik Marcus Neo dan Encik Osman Sulaiman. Calon RDU bagi SMC Jurong Central ialah Cik Emily Woo (tiga dari kanan). - Foto ST

Parti pembangkang Titik Merah Bersatu (RDU) memperkenalkan calon pada 16 April yang akan bertanding di GRC Jurong East-Bukit Batok bagi Pilihan Raya Umum (GE) 2025.

Pasukan lima anggota itu turut menampilkan dua anggota berpengalaman yang pernah bertanding di GE sebelum ini.

Antaranya ialah usahawan dan penulis, Cik Liyana Dhamirah, 38 tahun, yang merupakan calon RDU di GRC Jurong pada GE2020.

Encik Osman Sulaiman, 50 tahun, pula ialah pengarah syarikat pengurusan sisa dan pernah bertanding dalam tiga GE lalu.

Beliau bertanding di bawah Parti Pembaharuan (RP) pada 2011 dan 2015, dan menjadi calon Parti Rakyat Singapura (SPP) pada 2020.

Cik Liyana, yang telah mengharungi pelbagai cabaran untuk menjadi usahawan, berkata beliau ingin memperjuangkan isu yang dekat di hati masyarakat Melayu/Islam.

“Perjuangan masyarakat Melayu Islam, kita adalah satu masyarakat yang teguh dan bersemangat.

“Tetapi kita juga telah memikul beban stereotaip, jangkaan rendah dan sistem yang tidak selalu melihat kita dengan sepenuhnya,” katanya.

Pengumuman yang dibuat di Blok 255, Jurong East Street 24, berhampiran Majlis Bandaran Jurong-Clementi, turut menyaksikan barisan calon terdiri daripada artis kontemporari, Encik Ben Puah, 48 tahun; pengarah agensi pemasaran, Encik Marcus Neo, 33 tahun; dan jurutera perisian kanan, Encik Harish Mohanadas, 39 tahun.

Bakal calon Titik Merah Bersatu (RDU) bagi GRC Jurong East-Bukit Batok (dari kiri) Encik Ben Puah, Cik Liyana Dhamirah, Encik Marcus Neo, Encik Osman Sulaiman dan Encik Harish Mohanadas.
Bakal calon Titik Merah Bersatu (RDU) bagi GRC Jurong East-Bukit Batok (dari kiri) Encik Ben Puah, Cik Liyana Dhamirah, Encik Marcus Neo, Encik Osman Sulaiman dan Encik Harish Mohanadas. - Foto ST

RDU juga akan bertanding di SMC Jurong Central, dengan menampilkan guru piano, Cik Emily Woo, 59 tahun, sebagai calon.

Cik Woo, yang menyertai parti itu pada 2020, pernah menjadi guru di Kementerian Pendidikan (MOE) dan telah mengajar piano sejak 2000.

Bakal calon Titik Merah Bersatu (RDU) bagi SMC Jurong Central, Cik Emily Woo.
Bakal calon Titik Merah Bersatu (RDU) bagi SMC Jurong Central, Cik Emily Woo. - Foto ST

Bercakap kepada Berita Harian (BH) mengenai isu penduduk masyarakat Melayu/Islam di Jurong East-Bukit Batok, Cik Liyana berkata pihaknya prihatin isu seperti kos sara hidup, diskriminasi mendapatkan kerja dan isu penuaan.

Beliau juga berkata dengan kehadiran ramai penduduk Melayu/Islam di kawasan itu, mereka ingin melihat lebih ramai pemimpin Melayu di Parlimen.

“Penduduk berkata, sejauh ini, parti yang datang untuk bertanding di Jurong atau di Bukit Batok selalunya mempunyai seorang wakil Melayu.

“Jadi, mereka juga ingin melihat lebih daripada seorang orang Melayu tampil mengambil peranan pemimpin,” katanya.

Ketika pengumuman calon itu, Setiausaha Agung RDU, Encik Ravi Philemon, berkata terdapat “Geylang Serai di kawasan barat” berhampiran GRC Jurong East-Bukit Batok, dan kawasan itu mempunyai bilangan pengundi Melayu/Islam yang agak ramai.

Menurut analisis data demografi oleh akhbar The Straits Times (ST), 15.3 peratus daripada penduduk tetap di kawasan itu terdiri daripada orang Melayu – lebih tinggi daripada purata nasional iaitu 13.5 peratus.

Memperkenalkan Encik Osman dan Cik Liyana sebagai “calon utama” pasukan tersebut, Encik Philemon, berkata:

“Kami mengakui pemerintah telah banyak membantu masyarakat Melayu/Islam, tetapi dalam beberapa aspek... masih ada ruang untuk kami lakukan lebih banyak lagi.”

Encik Osman, yang kini menetap di Filipina, bersedia kembali dan menetap di Singapura sekiranya terpilih, kata Encik Philemon.

“Itulah tahap komitmen yang beliau bawa kepada para penduduk di sini,” tambahnya.

Dengan penamaan calon itu, RDU bakal berdepan dengan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) SMC Yuhua.

Cik Fu akan disertai Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai; dan dua muka baru, Encik David Hoe dan Encik Lee Hong Chuang.

Di SMC Jurong Central yang baru, Cik Woo dari RDU bakal berdepan Encik Xie Yao Quan dari PAP.

Pada GE2020, RDU, yang ketika itu merupakan parti politik termuda, hanya bertanding di GRC Jurong, dengan PAP memenangi 74.61 peratus undian.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg