Politik
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Calon baru PAP cabar penyandang WP di SMC Hougang

Apr 23, 2025 | 5:57 PM
 Encik Dennis Tan,Encik Marshall Lim
Anggota Parti Pekerja (WP), Encik Dennis Tan (kiri), akan berhadapan muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Marshall Lim, dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), bagi mempertahankan kawasan undinya di SMC Hougang. - Foto ZAOBAO

Anggota Parti Pekerja (WP), Encik Dennis Tan, akan mempertahankan kawasan undinya di SMC Hougang, dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Beliau akan berhadapan muka baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), Encik Marshall Lim, yang sebelum ini telah diperkenalkan secara rasmi kepada media pada 13 April sebagai calon yang akan bertanding di kubu kuat WP itu.

Permohonan kedua-dua calon untuk bertanding di kawasan undi tersebut diterima pada Hari Penamaan Calon pada 23 April.

SMC Hougang adalah antara sembilan kawasan undi, yang sempadannya tidak diubah bagi GE2025.

Hingga 1 Februari, SMC itu mempunyai 29,433 pengundi berdaftar.

Encik Tan menang di SMC Hougang dalam GE2020 selepas meraih 61.21 peratus undi, menewaskan calon PAP, Encik Lee Hong Chuang.

SMC Hougang merupakan kawasan undi yang paling lama dipegang parti pembangkang dalam sejarah pilihan raya Singapura, dan telah berada di tangan WP sejak mantan ketua parti itu, Encik Low Thia Khiang, memenangi kawasan undi itu pada 1991.

Encik Tan, 54 tahun, seorang perunding dan peguam perkapalan di firma, DennisMathiew Shipping Lawyers, ialah setiausaha penganjur WP.

Bercakap kepada penyokong dari balkoni, Encik Tan berkata beliau akan terus berkhidmat di Hougang.

Kata-kata beliau itu disambut dengan sorakan dan tiupan hon daripada penyokong.

“Terima kasih atas sokongan anda, tolong izinkan saya dan WP berkhidmat di Hougang. Tolong undi WP,” katanya dalam bahasa Mandarin.

Sementara itu, Encik Lim, 38 tahun, seorang peguam jenayah dan rakan kongsi dalam firma guaman swasta, Martin & Partners, menggantikan Encik Jackson Lam sebagai pengerusi cawangan Hougang PAP pada Februari.

Encik Lim, yang bercakap dalam bahasa Teochew dan Mandarin, mengucapkan terima kasih kepada penyokong kerana datang dan meminta pengundi agar mengundinya.

SMC Hougang dipegang oleh WP sejak GE1991, apabila Encik Low menewaskan pesaingnya daripada PAP dengan 52.8 peratus undi.

Encik Low kemudian menyerahkan kerusi itu kepada penggantinya, Encik Yaw Shin Leong, semasa GE2011 untuk bertanding di GRC Aljunied.

Pada tahun itu, Encik Yaw menentang Encik Desmond Choo daripada PAP dan menang dengan 64.80 peratus undi.

Encik Yaw dipecat daripada WP pada 2012 atas dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan seorang wanita yang sudah berkahwin.

Pilihan raya kecil diadakan dalam tahun sama.

PAP sekali lagi meletakkan Encik Choo untuk bertanding tetapi calon WP, Encik Png Eng Huat, muncul sebagai pemenang.

Encik Png telah dipilih semula pada GE2015, diikuti oleh Encik Tan pada GE2020.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg