Peguam jenayah, Encik Marshall Lim, 38 tahun, dijangka bertanding di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hougang sebagai calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Beliau diperkenal secara rasmi kepada media pada 13 April sebagai calon PAP di kubu kuat Parti Pekerja (WP) itu.
“Adalah satu penghormatan dapat berkhidmat kepada Singapura dan rakyat Singapura sebagai seorang peguam dalam sektor swasta dan juga sebagai penjawat awam.
“Kini saya memohon agar rakyat Singapura – khususnya penduduk Hougang – memberikan saya peluang untuk berjuang demi anda, keluarga anda dan masyarakat kita sebagai pemimpin anda,” kata Encik Lim.
Meskipun WP belum mengumumkan senarai calon mereka bagi GE2025, Encik Lim dijangka akan berdepan dengan AP WP yang kini berkhidmat di kawasan undi itu, iaitu Encik Dennis Tan, 54 tahun – seorang peguam dalam bidang perkapalan – yang mempertahan kerusi Hougang bagi parti pembangkang itu semasa GE2020 dengan 61.21 peratus undi.
SMC Hougang merupakan kawasan undi yang paling lama dipegang pembangkang dalam sejarah pilihan raya Singapura dan berada di tangan WP sejak mantan ketua parti itu, Encik Low Thia Khiang, memenanginya pada 1991.
Encik Lim, mantan pendakwa raya yang kini bertugas sebagai peguam pembela, dilantik sebagai pengerusi cawangan PAP di SMC Hougang pada Februari 2025.
Beliau menggantikan pemilik perniagaan dan mantan anggota kesatuan sekerja, Encik Jackson Lam, yang sebelum ini menggantikan Encik Lee Hong Chuang sebagai pengerusi cawangan PAP di Hougang.
Encik Lee – yang bertanding di Hougang semasa GE2015 dan GE2020 – kini dilihat turun padang di GRC Bishan-Toa Payoh bersama Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.
Sementara itu, Encik Lam pula disebut-sebut sebagai bakal calon PAP bagi GRC Nee Soon, setelah menghadiri beberapa acara masayarakat baru-baru ini di kawasan tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg