Meningkatkan keupayaan masyarakat yang lebih celik digital dan membina jaringan masyarakat yang lebih kukuh dalam kalangan penduduk.
Itulah antara yang ingin ditumpukan Cik Noraini Yunus, 57 tahun, dalam Pilihan Raya Umum (GE) 2025.
Selain itu Bendahari Parti Bersatu Singapura (SUP) itu juga berharap untuk menawarkan potongan harga bagi barangan digital kepada individu yang memerlukan.
“Kemahiran dalam bidang digital bukan sahaja membuka peluang, tetapi juga mengeratkan hubungan jiran, keluarga dan masyarakat.
“Saya juga berharap dengan potongan harga barangan digital, tiada siapa yang ketinggalan untuk dapatkan akses kepada alat digital,” ujar beliau semasa ditemui Berita Harian (BH) pada 12 April.
Cik Noraini merupakan salah seorang sepasukan lima calon dari SUP yang akan bertanding di GRC Ang Mo Kio dalam GE2025.
Semasa ditemui wartawan di Pusat Makanan Kebun Baru pada 17 April, Setiausaha Agung SUP, Encik Zhu Laicheng Andy, berkata:
“Anggota SUP akan berusaha ke arah negara yang lebih mesra dan inklusif.
“Kami bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan lain demi menangani dan memenuhi keperluan masyarakat Singapura.”
Setakat ini, pihak SUP masih dalam proses menyediakan satu manifesto parti dan akan melancarkannya “apabila tiba masanya”, tambah beliau.
Turut serta dalam pasukan tersebut ialah Pengerusi SUP, Dr Ridhuan Chandran; Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) SUP, Dr Vincent Ng; dan anggota SUP, Encik Nigel Ng.
Sebelum GE2025, Cik Noraini pernah berkhidmat sebagai bendahari bagi Parti Solidariti Nasional (NSP) dan Parti Pembaharuan (RP).
Beliau telah bertanding dalam tiga pilihan raya umum – 2011, 2015 dan 2020.
Cik Noraini merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti South Australia dan mempunyai Diploma Pascasiswazah Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Roehampton, London.
Kini beliau sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam Pentadbiran Perniagaan secara dalam talian melalui Swiss School of Business and Management (SSBM) di Geneva.
Menurutnya, dalam dunia yang sentiasa berubah, pembelajaran sepanjang hayat bukan lagi pilihan dan merupakan satu keperluan bagi seseorang untuk terus kekal relevan.
Sepanjang dua dekad bekerja dalam sektor pentadbiran, khidmat pelanggan dan jualan, Cik Noraini pernah menerima anugerah kecemerlangan semasa berkhidmat dengan syarikat-syarikat berbilang negara, menurut kenyataan SUP.
Bagi Cik Noraini, penyertaan dalam pilihan raya kali ini bukan sekadar percaturan politik, tetapi satu komitmen untuk membina masyarakat yang lebih celik teknologi, berdaya saing dan saling menyokong antara satu sama lain terutamanya dalam Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) yang padat seperti Ang Mo Kio.
GRC Ang Mo Kio merupakan kubu kuat Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai oleh Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.
Ia kekal sebagai kawasan perwakilan kumpulan terbesar dengan 161,494 pengundi untuk GE2025.
Mereka telah meraih 71.91 peratus undi menentang RP pada GE2020.
Beberapa anggota SUP, termasuk Encik Zhu dan Cik Noraini, pernah bertanding di bawah pasukan RP dalam GE2020 dan meraih 28.09 peratus undi di GRC Ang Mo Kio.
Encik Zhu berkata SUP telah mula mendekati penduduk di Ang Mo Kio sejak parti itu ditubuhkan pada 202, dan giat menjalankan pelbagai usaha untuk bermesra dengan penduduk.
Selain lawatan ke rumah penduduk setiap bulan, SUP turut mengagihkan makanan kepada keluarga memerlukan semasa Ramadan dan mengagihkan limau sempena perayaan Tahun Baru Cina.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg